KUALA NERUS - Seramai 207 penumpang termasuk kru sebuah pesawat Qingdao Airlines dari China terkandas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, selepas penerbangan berkenaan terpaksa dilencongkan akibat cuaca buruk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lalu.
Pesawat jenis Airbus A321neo yang mengendalikan penerbangan QW907 itu dilaporkan selamat mendarat di LTSM kira-kira jam 5.30 petang selepas gagal mendarat di KLIA.
Menurut sumber, pesawat berkenaan sebelum itu turut tidak dapat dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAAP) berikutan kekangan bekalan bahan api.
Susulan pendaratan itu, kesemua penumpang ditempatkan sementara di Balai Berlepas Antarabangsa LTSM bagi menunggu urusan pengurusan dan penyambungan penerbangan.
Bagaimanapun, urusan pengisian semula bahan api menjadi cabaran apabila lapangan terbang berkenaan tidak mempunyai kemudahan sambungan bagi perkhidmatan pengisian minyak pesawat.
Sumber memaklumkan bekalan bahan api perlu dibawa dari lokasi lain, sama ada dari Kuantan, Pahang atau Kota Bharu, Kelantan, sebelum pesawat dibenarkan meneruskan penerbangan.
Sementara menunggu urusan berkenaan diselesaikan, semua penumpang ditempatkan di tiga hotel sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan menggunakan lima perjalanan pengangkutan yang disediakan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pendaratan pesawat Qingdao Airlines (QW907) dari China di LTSM.
Beliau berkata, pesawat itu terpaksa dilencongkan berikutan faktor cuaca dan mengesahkan semua individu yang berada di dalam pesawat berada dalam keadaan selamat.


EmoticonEmoticon