Isnin, 16 Mac 2026

Polis berkas dua lelaki curi kabel TM di Hutan Melintang


Polis berjaya menahan dua lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) berhampiran premis perniagaan di Hutan Melintang yang tular di media sosial semalam.


Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, kedua-dua suspek berumur 22 dan 23 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang, kurang 24 jam selepas laporan berhubung kejadian berkenaan diterima.


Menurutnya, sebelum itu tular di aplikasi TikTok satu klip video berdurasi dua minit tiga saat yang memaparkan seorang individu menarik kabel menggunakan sebuah kenderaan berhampiran sebuah premis perniagaan di Hutan Melintang pada 14 Mac lalu.


"Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.


"Kita percaya penahanan kedua-dua suspek berjaya menyelesaikan kes kecurian kabel yang menggunakan modus operandi sama di sekitar kawasan pentadbiran daerah Bagan Datuk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mohammad Ali berkata, polis turut menemui barang kes berupa longgokan kabel yang telah dipotong di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan yang dipercayai kabel dicuri.


Katanya, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan dalam kejadian tular itu.


Menurut beliau, kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 19 Mac ini selepas mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi membantu siasatan.


Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Sebelum ini sebuah video tular memperlihatkan seorang lelaki membuka lurang TM sebelum menarik keluar kabel di dalamnya menggunakan sebuah kereta.


Kedua-dua suspek berumur 22 dan 23 tahun ditahan kurang 24 jam selepas laporan kecurian diterima.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon