Bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan membuat keputusan mengenai kedudukannya, sama ada menerajui parti baharu atau menyertai parti lain atau mana-mana gabungan politik selepas Aidilfitri.
Hamzah, bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kerana akan berdepan masalah mahu membentuk parti jika menang pilihan raya.
Menggunakan analogi sebuah kapal, Hamzah berkata, kapal kecil yang akan dinakhodainya kelak perlu menyertai armada yang besar untuk menjadi lebih kuat.
"Lepas Hari Raya (akan memuktamadkan keputusan). Anda sekurang-kurangnya beri saya kebenaran selama 30 hari untuk saya membuat pengumuman," katanya dalam temuramah bersama media di Kuala Lumpur hari ini.
Sebagai Ahli Parlimen Bebas ketika ini, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang, berkata beliau masih lagi berada di persimpangan dan belum menentukan sama ada akan menyertai kapal yang sudah lama dan berat atau kapal baharu, dengan teknologi yang lebih terkini dan canggih.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak akan berpatah balik ke belakang, merujuk kepada parti lamanya, iaitu BERSATU.
Ditanya mengenai senario terburuk yang boleh berlaku jika parti yang mahu diterajuinya, iaitu Parti Keluarga Malaysia berdepan masalah untuk mendapat kelulusan, termasuk kemungkinan membentuk gabungan Ahli Parlimen Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) seperti Gelombang Hitam di Sabah, Hamzah berkata, beliau dan rakan Ahli Parlimen lain akan terikat dengan Akta Anti Lompat Parti jika mahu membentuk parti kelak.
"Dalam sistem demokrasi negara kita, jika saya bertanding Bebas, semua kawan-kawan saya bertanding sebagai Bebas, Akta Anti Lompat Parti... akhirnya kita tak boleh jadikan satu parti.
"Sebab itu, saya kata kita perlukan kapal bila sampai masanya. Ia hanyalah keperluan dalam undang-undang negara kita juga.
"Jadi jawapannya, kita sudah tentu perlukan kapal untuk kita menempuh sesuatu di hadapan kita," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan menyertai kapal yang lebih besar jika Parti Keluarga Malaysia tidak diluluskan, Hamzah berkata, itu juga hanya akan dijawab selepas Aidilifitri.
Berhubung status pendaftaran Parti Keluarga Malaysia yang kini di peringkat rayuan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Hamzah berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada kepemimpinan parti kerana beliau hanya berkawan dengan parti itu.
"Bila saya berkawan dengan parti ini, saya katakan, baik tapi kita memerlukan "reset" (tetapan semula) tertentu. Itu yang kita lakukan.
"Bila nak "reset" ini, banyak perkara yang diperlukan. Saya boleh katakan, 90 peratus daripada segala apa yang kita nak itu sudah pun kita bersetuju dan kita masih memerlukan 10 peratus untuk memuktamadkan segalanya," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Hamzah akan memimpin Parti Keluarga Malaysia bagi meneruskan kelangsungan perjuangan politiknya susulan pemecatannya daripada BERSATU pada 13 Februari lalu.
Hamzah turut mengesahkan berlaku rundingan mengenai kemungkinan beliau mengambil alih parti itu, namun Jabatan Pendaftaran (ROS) bagaimanapun melaporkan pernah menolak pendaftaran Parti Keluarga Malaysia pada 2022.
Pada 11 Mac lalu, ROS memaklumkan Parti Keluarga Malaysia sudah mengemukakan permohonan rayuan pendaftaran parti itu.

EmoticonEmoticon