Rabu, 18 Mac 2026

Buruh warga Indonesia didakwa sebabkan kematian pelajar kolej terkena sabit berhulu panjang


Warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini, atas dua pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar kolej vokasional akibat terkena sabit berhulu panjang minggu lalu.


Tertuduh, Sutiyono, 39, mengangguk faham selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman namun pengakuan tidak direkodkan memandangkan tertuduh mempunyai masalah pendengaran.


Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa menunggang Honda EX5 secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Adham Faisal, 18, iaitu penunggang motosikal jenis Honda Vario 150cc.


Perbuatan itu dilakukan di Lorong Haji Abdul Rashid, Kampung Selabak, Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak, jam 8.10 pagi, 9 Mac lalu.


Susulan itu, buruh ladang kelapa sawit terbabit menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut peruntukan sama yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara minimum lima tahun namun tidak melebihi 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 namun tidak melebihi RM50,000.



Mengikut pertuduhan kedua pula, dia didapati menunggang motosikal dengan cara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Mu'ammar Ismail, 17, pada tarikh, tempat, dan masa yang sama.


Atas pertuduhan kedua itu, Sutiyono didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 namun tidak melebihi RM15,000.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala tertuduh diwakili peguam pro bono, Francis Sinnappan.


Selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa, tertuduh sekadar mengangguk apabila diminta menyuarakan pengakuannya sebelum Nur Darwis memberitahu mahkamah bahawa tertuduh menghadapi masalah pendengaran kurang jelas.


Nur Darwis justeru meminta mahkamah mempertimbangkan tarikh baru bagi lantikan jurubahasa bahasa isyarat serta jurubahasa Bahasa Indonesia, selain menawarkan jaminan RM8,000 bagi tertuduh dengan dua penjamin warga Malaysia untuk kedua-dua pertuduhan.


Beliau turut meminta agar lesen memandu tertuduh dirampas sehingga kes selesai.


Francis bagaimanapun memohon jaminan minimum antaranya mengambil kira faktor pekerjaan tertuduh sekadar buruh ladang kelapa sawit, selain menanggung keluarga termasuk seorang anak yang menetap di Indonesia serta faktor masalah pendengaran tertuduh.


Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dengan salah seorang daripada penjamin adalah majikannya.


Naidatul Athirah turut menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan bedah siasat di samping lantikan dua jurubahasa iaitu bahasa isyarat dan Bahasa Indonesia.


Terdahulu, media melaporkan Adham Faisal yang juga pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan maut apabila lehernya terhiris sabit berhulu panjang ketika motosikal yang dinaikinya berselisih dengan motosikal tertuduh di Batu 4, Kampung Selabak pada 9 Mac lalu.


Kejadian turut menyebabkan rakan mangsa yang menaiki motosikal sama mengalami kecederaan pada tangan.


EmoticonEmoticon