Ketua Bahagian BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, memutuskan tidak akan menjawab notis tunjuk sebab yang diterima daripada Lembaga Disiplin parti berhubung beberapa tuduhan terhadapnya.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, notis diterima melalui WhatsApp pada 10 Mac lalu sekitar jam 6 petang dengan tempoh tujuh hari diberikan untuk memberikan jawapan.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana menganggap soalan dikemukakan tidak munasabah.
"Saya tidak mahu merendahkan intelektual saya untuk menjawab soalan itu dan bersedia menerima sebarang keputusan Lembaga Disiplin," katanya pada sidang media di Pejabat BERSATU Port Dickson.
Chegubard berkata, isu yang dibangkitkan termasuk sidang media pada 9 Julai lalu yang didakwa memburukkan parti, selain kenyataan di media sosial yang menggunakan perkataan 'barua' dan 'mangkuk hayun' terhadap pimpinan parti.
Beliau mendakwa situasi itu seolah-olah menunjukkan parti dikawal sepenuhnya sehingga ahli tidak bebas menyuarakan pandangan, malah individu yang mengkritik kerajaan secara agresif dilihat sebagai musuh parti.
Sehubungan itu, beliau mencabar BERSATU supaya memecatnya sekiranya tindakannya bersuara dianggap sebagai kesalahan, selain tidak menolak kemungkinan BERSATU Port Dickson akan lumpuh dalam masa terdekat.
Katanya, beliau menyertai BERSATU pada 2020 selepas dipecat daripada PKR pada 2016 dengan niat memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, namun mendakwa parti itu kini tidak lagi seperti dahulu.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kebimbangan kemelut dalaman yang melanda BERSATU boleh menjejaskan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan.

EmoticonEmoticon