Rabu, 18 Mac 2026

Tangkapan khalwat di hotel bongkar kes rogol babit gadis bawah umur


Bermula dengan tangkapan kerana disyaki berkhalwat, berakhir dengan seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki merogol gadis bawah umur berusia 14 tahun di sebuah hotel di Muar, Sabtu lalu.


Penahanan suspek berusia 20 tahun dilakukan selepas tular berita pasangan terbabit dicekup pegawai dan anggota Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi 8.30 pagi itu.


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


Menurut Raiz Mukhliz, melalui penularan berita di media sosial, polis menjalankan siasatan dan mendapati mangsa adalah kanak-kanak bawah umur sekali gus mendorong polis membuka kertas siasatan berkaitan kes rogol.


"Pada masa sama, polis turut menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan berhubung kejadian," katanya dalam kenyataan.


Katanya, polis memandang serius kes seumpama ini dan memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat dalam membanteras aktiviti tidak bermoral serta salah laku seksual.


Dalam operasi itu, penguat kuasa JAINJ menahan pasangan terbabit menerusi pemeriksaan secara berkala ke atas sebuah hotel di daerah Muar.


Semasa operasi, suspek lelaki memakai seluar pendek dan tidak berbaju didapati bersama seorang gadis bawah umur di dalam sebuah bilik.


Suspek memberitahu penguat kuasa JAINJ, tujuan dia menyewa hotel kerana mahu menghantar mangsa pulang ke kampung halamannya sempena cuti perayaan.


Pemeriksaan mendapati mereka hanya pasangan kekasih dengan lelaki ini masih bujang dan bekerja di Muar, manakala gadis itu dari negeri lain, menetap hampir setahun kerana bekerja di sini.


Siasatan penguatkuasa JAINJ juga mendapati gadis itu sudah berhenti sekolah dan tinggal dengan sebuah keluarga kononnya keluarga angkat.


Pasangan ini kemudian ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat.


EmoticonEmoticon