Ahad, 7 Jun 2026

Lelaki bersanding dua isteri sekaligus, keluarga jelaskan cerita sebenar


Seorang pengantin lelaki di Bali dilihat bersanding bersama dua pengantin wanita secara serentak di pelamin dalam sebuah majlis perkahwinan. Kejadian yang dilaporkan berlaku di Banjar Dinas Baledana, Desa Titab, Daerah Busungbiu, Buleleng itu, kemudian menjadi tular di media sosial.


Dalam video berdurasi kira-kira 48 saat itu, lelaki berkenaan dilihat duduk di tengah dua wanita yang adalah isterinya.


Ketiga-tiga mereka kelihatan mesra dan harmoni serta saling menyuap minuman sambil tersenyum.


Perkara itu turut disambut gelak tawa dan sorakan daripada keluarga serta tetamu yang hadir.


Ketua Kampung Desa Titab, I Wayan Suastika mengesahkan, lelaki dalam video berkenaan adalah penduduk desa terbabit yang dikenali sebagai, Komang NP.


Bagaimanapun, beliau menjelaskan lelaki berkenaan tidak berkahwin dengan dua wanita pada masa yang sama seperti yang tular di media sosial.


"Komang terlebih dahulu berkahwin dengan isteri pertamanya yang berasal dari Desa Lokapaksa.


"Selepas kira-kira empat bulan, dia kemudian berkahwin dengan wanita dari Desa Titab yang menjadi isteri keduanya. Bukan berkahwin serentak," katanya.


Beliau berkata, upacara adat untuk isteri pertama tertangguh kerana ketika itu di kawasan asal pengantin perempuan sedang berlangsung upacara ngaben (upacara pengebumian tradisional Bali).


Tambah beliau, keadaan itu menyebabkan proses adat atau nunas (permohonan rasmi dalam upacara) bagi isteri pertama tidak dapat dilaksanakan pada waktu berkenaan.


Susulan itu, pada 31 Mei lalu, keluarga melaksanakan beberapa upacara serentak bersempena upacara adat tiga bulan bagi anak kepada isteri kedua.


EmoticonEmoticon