Selasa, 30 Disember 2025

'Muafakat Kerajaan Perpaduan lebih mantap, ikhlas, tiada khianat' - PM Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur dengan permuafakatan Kerajaan Perpaduan yang lebih mantap serta ikhlas berbanding dengan senario politik parti pembangkang seperti yang berlaku di Perlis.


Perdana Menteri berkata, muafakat Kerajaan Perpaduan lebih ikhlas dan tiada unsur sabotaj serta khianat.


"Saya bersyukur kerana muafakat Kerajaan Perpaduan lebih mantap, lebih ikhlas dan tiada usaha sabotaj, khianat, seperti yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan (parti pembangkang) lain," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi politik membabitkan kerajaan pimpinan pembangkang di Perlis.


Polemik politik di Perlis timbul susulan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) di negeri itu didakwa bertemu Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar ketika itu, Mohd Shukri Ramli.


Malah, polemik terbabit menyaksikan Mohd Shukri kemudian melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.


Berikutan itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan media memaklumkan keahlian ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).


Susulan itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya diadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi tiga kawasan DUN di negeri itu berikutan kekosongan luar jangka akibat kemelut politik dalaman PN yang menjejaskan majoriti kerajaan negeri.


EmoticonEmoticon