Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Peletakan jawatan itu disahkan sendiri bekas Perdana Menteri itu menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
"Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah lama memberikan sokongan kepada saya selama saya memimpin PN sejak penubuhannya lima tahun lalu," katanya.
Muhyiddin turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti dianggotai.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengesahkan Muhyiddin telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai ketua gabungan itu.
Beliau berpandangan keputusan Muhyiddin berundur sebagai Pengerusi PN merupakan tindakan yang bijak dan tepat dalam situasi PN memerlukan momentum baru menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Saya yakin Pas akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui Perikatan Nasional sebagai Pengerusi yang baru.
"Tidak semestinya Presiden Parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh menggembleng kekuatan parti-parti yang ada di bawah Perikatan Nasional," katanya.
Beliau berkata, rombakan pastinya akan dilakukan terhadap organisasi PN bagi memberikan fokus yang lebih kepada gerak kerja selepas ini.
"Tahniah Tan Sri Muhyidin Yasin atas sikap terbuka beliau. Selamat bekerja Pengerusi Perikatan Nasional yang baru," ujarnya lagi.

EmoticonEmoticon