Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, pada Jumaat atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu minyak masak bersubsidi seberat 454 kilogram (kg) tanpa lesen sah, pada Mac lalu.
Mohammad Ariful Islam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki barang kawalan iaitu minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram sebanyak 454kg dalam keadaan yang menimbulkan syak wasangka munasabah yang mana dengan niat barang kawalan itu, digunakan untuk berniaga secara jual runcit yang melanggar Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Perbuatan itu turut menjadi kesalahan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 394 (No.1), Bt 1, Jalan Changkat Jong, Kampung Muhibbah, Teluk Intan, kira-kira jam 11.30 pagi, 30 Mac lalu.
Jika sabit kesalahan, pesalah bagi kesalahan pertama boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, pesalah boleh didenda sehingga RM3 juta atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Norhamizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia yang juga majikannya.
Mahkamah menetapkan 18 November Untuk sebutan semula kes bagi tujuan sabitan dan hukuman.

EmoticonEmoticon