Ahad, 4 Oktober 2026

Dikurung, digigit anjing, dakwaan disihir, antara ancaman dihadapi anggota JPJ ketika Op PEWA


Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menjalankan Operasi Warga Asing (Op PEWA) didakwa berdepan pelbagai bentuk ancaman, termasuk dikunci di dalam premis dan diserang anjing peliharaan.


Mendedahkan perkara itu, Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata ancaman terburuk yang dihadapi adalah dakwaan anggotanya terkena sihir ketika menjalankan tugas penguatkuasaan.


Beliau berkata, kejadian seumpama itu berlaku ketika anggota mengejar pemandu atau cuba mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang melanggar undang-undang.


"Sepanjang Op PEWA, terdapat banyak ancaman terhadap anggota kami. Ada kes anggota mengejar pemandu hingga ke sesuatu kawasan sebelum dikunci dari luar oleh warga asing.


"Ada juga anggota yang digigit anjing peliharaan yang disimpan di premis berkenaan. Malah, ada anggota yang mendakwa diri mereka terkena sihir," katanya di Kota Bharu, baru-baru ini.


Muhammad Kifli berkata, itu antara risiko yang dihadapi anggota penguat kuasa JPJ ketika menjalankan tugas, terutama ketika berdepan pemandu yang cuba mengelak daripada tindakan.


Bagaimanapun, katanya, pegawai dan anggota JPJ kekal komited untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan walaupun berdepan pelbagai cabaran dan ancaman di lapangan.


Katanya, JPJ akan terus mengambil tindakan tegas terhadap individu dan pihak yang terbabit dalam kesalahan berkenaan.


"Kami akan terus menguatkuasakan undang-undang. Anggota kami dilatih untuk mengendalikan pelbagai situasi, namun keselamatan mereka tetap menjadi keutamaan," katanya.


EmoticonEmoticon