Seorang pempengaruh permotoran antara lapan individu yang dipercayai terbabit dalam video tular kerana menutup jalan bagi berlumba haram di Lebuhraya Linkedua, Kulai pada Sabtu lalu direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman bermula hari ini sehingga Khamis dikeluarkan Majistret R Salini selepas mendapat permohonan daripada polis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Ia bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, trak polis yang membawa semua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun itu tiba di perkarangan Mahkamah Kulai jam 8.30 pagi.
Semua suspek memakai topeng dengan dua daripada memakai 'hoodie' bagi mengelak wajah mereka dirakam.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, semua suspek ditahan jam 11.54 pagi semalam oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.
Video tular berdurasi 33 saat itu memaparkan aksi dua penunggang motosikal sedang berlumba haram di lebuh raya kira-kira jam 7 pagi.
Kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 33, susur tol Senai Utara hingga Kilometer 31, susur Johor Premium Outlet (JPO).
Rakaman turut memaparkan beberapa individu 'menutup' jalan di lebuh raya berkenaan bagi memberi laluan kepada perlumbaan.
Suspek turut membakar mercun bagi meraikan tamatnya perlumbaan selain beberapa individu termasuk pempengaruh berkenaan dilihat berada pada bahu jalan selepas perlumbaan itu berakhir.

EmoticonEmoticon