Jumaat, 8 Mei 2026

Pemandu van dituduh pandu melulu sebabkan kematian murid perempuan Tahun Dua


Lelaki warga emas memandu van yang melanggar murid Tahun Dua, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon dekat Parit Sulong hingga maut Selasa lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.


Tertuduh, Nordin Ithnin, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) di hadapan Majistret Arun Noval Dass.


Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak didakwa memandu van nombor pendaftaran DFC 2009 secara melulu hingga menyebabkan kematian terhadap Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8.


Kesalahan itu dilakukan di hadapan SK Seri Maimon, Batu Pahat pada jam 12.30 tengah hari, 5 Mei lalu.


Seksyen 41 (1) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.


Pada prosiding itu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan suatu tarikh baharu bagi serahan dokumen serta menawarkan ikat jamin RM10,000.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Selain itu mahkamah memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.


Pada masa sama, mahkamah juga memerintahkan lesen memandu digantung berkuatkuasa hari pertuduhan dikemukakan terhadapnya selari dengan Seksyen 41 (5) akta sama. Kes disebut semula pada 25 Jun ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.


Berdasarkan laporan, polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima maklumat berhubung satu kemalangan maut membabit murid sekolah.


Hasil siasatan polis mendapati, kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah hari ketika van dipandu tertuduh bergerak keluar dari kawasan sekolah setelah selesai menghantar barang.


Ketika itu, mangsa sedang berjalan di hadapan pintu pagar sekolah dan van dipandunya merempuh murid terbabit hingga cedera parah.


Akibat pelanggaran itu, mangsa cedera parah di kepala dan organ dalaman, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Klinik Kesihatan Parit Sulong.


EmoticonEmoticon