Jumaat, 14 Ogos 2026

Menyamar pegawai KKM untuk peras wang, dua lelaki didenda RM7,000 setiap seorang


Seorang bekas penolong pegawai kesihatan dan rakannya masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan pemerasan semasa menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bulan lalu.


Tertuduh, Mohamad Ridzuan Dahalan, 34, dan Khairul Alamin Mohamed Daud, 35, membuat pengakuan bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.


Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua mereka secara bersama dengan niat melakukan pemerasan terhadap Mohamad Pandak, 59, secara tidak jujur bagi mendorongnya menyerahkan wang RM2,000.


Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa menyamar dengan memegang jawatan sebagai penjawat awam iaitu Penolong Kesihatan KKM.


Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah kawasan chalet di Kampung Kenang Baru Jalong Tinggi, Sungai Siput, 9 pagi, 30 Julai lalu.


Bagi pertuduhan melakukan pemerasan, ia boleh dihukum mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (KK), dibaca bersama Seksyen 34KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripadanya.


Bagi tuduhan menyamar penjawat awam, ia dibaca mengikut Seksyen 170KK yang dibaca bersama Seksyen 34KK, memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Mirza Zulaikha Mohd Fadzly manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Canice Chan Hong Yan.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh secara paksa meminta pengadu yang juga pengusaha chalet supaya menyerahkan RM2,000 kononnya sebagai imbalan untuk tidak mengambil tindakan terhadap penguatkuasaan perundangan berkaitan kes wabak kencing tikus yang dikatakan berlaku di kawasan chalet itu.


Semakan bagaimanapun mendapati, kedua-dua tertuduh bukan kakitangan KKM Negeri Perak dan tidak mempunyai kuasa menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan bagi pihak KKM, yang mana Mohamad Ridzuan juga didapati sudah ditamatkan kontrak perkhidmatan dengan KKM pada 4 November 2025.


Ketika mitigasi hukuman, Hong Yan menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh menanggung seorang isteri serta tiga orang anak, dengan Mohamad Ridzuan kini tidak bekerja manakala Khairul Alamin merupakan pekerja kontrak dengan pendapatan RM1,800 sebulan.


Azlin Zeti menetapkan kedua-dua tertuduh didenda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama; serta denda RM2,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan kedua.


EmoticonEmoticon