Rabu, 24 Disember 2025

Polis berkas lelaki pakai tudung sambil minum arak


Lelaki yang memakai tudung sambil minum minuman keras hingga mencetuskan sensitiviti agama dalam satu rakaman video tular telah ditahan polis di Subang Jaya hari ini.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, seorang wanita turut ditahan bersama lelaki berusia 22 tahun itu kira-kira jam 4.30 petang bagi membantu siasatan.


Menurutnya, siasatan awal mendapati individu yang memakai tudung dan meminum minuman keras dalam rakaman video berkenaan adalah seorang lelaki.


"Polis telah menerima laporan rakaman video tular kes terbabit.


"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan hari ini.


Kumar berkata, kedua-dua individu yang ditahan masing-masing berusia 22 dan 24 tahun.


Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan sensitiviti keagamaan.


"PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan menggugat keharmonian serta perpaduan terutama melibatkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja)," ujarnya.


Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 28 saat memaparkan seorang individu berhijab menikmati minuman keras di sebuah salon, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.


Rakaman itu dipercayai mula tular selepas dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok yang berkongsi tangkap layar daripada akaun media sosial lain.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon