Rabu, 24 Disember 2025

Hannah Yeoh komited pastikan isu kampung tradisi terpelihara


Hannah Yeoh komited memastikan isu kampung tradisi termasuk Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru kekal dipelihara biarpun pembangunan di Ibu Negara sedang pesat dijalankan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata, tumpuannya sentiasa kekal kepada dasar dan pelaksanaan serta hasil kerja, tanpa mengira latar belakang dan warna kulit.


Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Segambut itu, selepas menukar portfolio semasa rombakan kabinet pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi memastikan kepentingan di kampung tradisi terus terjamin.


"Saya juga telah berbincang dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani. Dan dalam hal ini, saya yakin semua urusan yang telah dilakukan oleh mantan menteri, iaitu Datuk Seri Dr Zaliha, akan kita teruskan.


"Dan saya tak nak komen, saya tunggu update dulu untuk pastikan semua itu ada perbincangan yang mendalam sebelum kita buat apa-apa keputusan.


"Untuk pilihan raya tempatan, yang itu jangan risau kerana yang itu bukan satu parti boleh bergerak sendiri. Ini adalah Kerajaan Perpaduan.


"Kerajaan Perpaduan bermaksud kita kena bincang bersama dengan semua parti yang mentadbir bersama. Yang itu jangan risau," ujarnya.


Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengimbas perakam waktu pada jam 8.00 pagi sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di Menara Seri Wilayah pada Isnin bersama Timbalannya, Datuk Lo Su Fui.


Ditanya mengenai pelantikkannya yang dikaitkan dengan isu perkauman, menurut Hannah, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk berkhidmat untuk rakyat.


"Kaum ataupun warna kulit tidak pernah mendefinisikan atau mengehadkan kerja kami. Sejak 2008, sama ada sebagai ADUN Subang Jaya, Speaker Dewan Negeri Selangor, Ahli Parlimen Segambut, ataupun Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Menteri Belia dan Sukan; tumpuan saya sentiasa kekal kepada dasar dan pelaksanaan serta hasil kerja, dan bukan terhadap warna kulit saya.


"Akal dan hati saya sentiasa komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan saya bersedia untuk bekerja dengan segera dan membiarkan rekod pencapaian menjadi bukti.


"Berbekalkan pengalaman ini, pentadbiran kami akan memberi keutamaan dan kerjasama erat kepada semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan. Sebagai wakil rakyat, mereka memahami denyut nadi kawasan masing-masing dan itu adalah suara demokrasi yang wajar didengari dan suara rakyat diwakilkan oleh Ahli-Ahli Parlimen kita," katanya.


Sebelum ini pelantikan Hannah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mendapat reaksi pelbagai pihak.


Untuk rekod, beliau mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin berbangsa Cina dan bukan Islam pertama yang memegang portfolio Wilayah Persekutuan sejak jawatan itu diwujudkan pada 1976.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon