Sabtu, 6 Jun 2026

Menangis, merayu ala sinetron, panjat tembok lebuh raya antara taktik PATI elak dicekup


Taktik menangis dan merayu ala drama sinetron digunakan sesetengah pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di kawasan setinggan sekitar Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur awal pagi tadi, gagal mengelakkan daripada ditahan pihak berkuasa dalam Op Sapu.


Ada juga yang bersembunyi di bawah kereta, selain sesetengahnya nekad memanjat tembok lebuh raya berhampiran bagi melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Imigresen.


Seorang wanita Indonesia berusia 20-an pula cuba membuat drama air mata sambil memberi alasan pasportnya hilang, namun selepas pemeriksaan lanjut, pegawai operasi menemukan dokumen perjalanan miliknya dan ternyata dia menetap di Malaysia secara haram.


Dalam pada itu, tukang cuci berusia 40-an hanya mampu termenung selepas beberapa saudara termasuk suaminya yang baru tiba dari Indonesia sebulan lalu menggunakan visa pelancong ditahan kerana tinggal lebih masa.


Wanita itu yang mempunyai dokumen lengkap cuba membela ahli keluarganya dan memberi alasan visa mereka baru tamat beberapa hari, namun pegawai bertugas tidak memberi muka kepada pihak yang melanggar undang-undang.


"Macam mana encik? Suami saya visa tamat beberapa hari sahaja takkan tak boleh beri muka. Macam mana saya mahu uruskan ini? Berapa lama dia kena tahan?" soalnya dalam keadaan resah kepada pegawai bertugas.


Dalam operasi sama, pihak Jabatan Imigresen Kuala Lumpur turut menemui dan menahan seorang remaja warga Myanmar berusia 19 tahun bersama kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) disyaki palsu.


Ketika disoal, remaja itu mengaku membayar RM200 kepada seorang rakan untuk mendapatkan kad pelarian itu kira-kira setahun lalu dan mendakwa baru berpindah ke kawasan setinggan itu untuk mencari pekerjaan di Lembah Klang.


"Saya masuk Malaysia dua tahun, naik kereta dari Thailand. Ketika itu naik kereta ramai-ramai. Tak ingat bayar berapa. Ibu bapa ada di kampung Myanmar," kata remaja itu yang kelihatan kurang fasih berbahasa Malaysia.


EmoticonEmoticon