Isnin, 16 Jun 2025

Dibelasah 9 rakan sekolah gara-gara simpan gambar bekas kekasih


Sembilan pelajar sekolah menengah di daerah Kemaman ditahan reman selama tiga hari berhubung kes memukul rakan sekolah hujung bulan lalu.


Perintah reman ke atas kesemua remaja itu dibenarkan Hakim Wan Suhaila Mohd. di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, sembilan pelajar berusia 15 hingga 18 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 tengah hari semalam selepas pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 14 tahun.


"Pelajar tingkatan dua itu mendakwa dia dipukul sekumpulan rakan sekolahnya pada 27 dan 28 Mei lalu.


"Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati salah seorang suspek terhadap mangsa yang masih menyimpan gambar remaja perempuan didakwa kekasihnya.


"Sebelum menjalin hubungan dengan suspek, gadis itu ialah bekas kekasih mangsa," katanya ketika dihubungi wartawan hari ini.


Katanya, tindakan suspek utama dan rakan-rakannya memukul mangsa secara berkumpulan menyebabkan remaja tersebut cedera di kepala dan belakang badan.


Sebahagian sembilan pelajar sekolah yang ditahan reman bagi membantu siasatan mencederakan rakan sekolah di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini. - Foto Kosmo Online.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon