Kunjungan sebuah keluarga untuk beribadat ke Kuil Banke Bihari, Vrindavan bertukar kecoh apabila seekor monyet tiba-tiba meragut beg tangan seorang wanita yang mengandungi barang kemas bernilai lebih 20 lakh (kira-kira RM113,000).
Insiden yang berlaku Khamis lalu itu menjadi lebih dramatik apabila polis bersama penduduk tempatan terpaksa melancarkan operasi selama lapan jam, termasuk menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semata-mata untuk mengesan monyet terbabit.
Menurut laporan Times of India, kejadian berlaku ketika Abhishek Agarwal, penduduk Aligarh, sedang meninggalkan kuil bersama keluarganya selepas selesai bersembahyang.
Tiba-tiba, seekor monyet menyambar beg tangan isterinya lalu melompat ke atas pokok.
"Beg itu mengandungi rantai bertatah berlian, dua cincin berlian, dua subang berlian dan tiga gelang perak," kata seorang peniaga yang menyaksikan kejadian itu.
Usaha orang ramai untuk mendapatkan semula beg itu tidak berhasil apabila monyet berkenaan hilang dalam sekelip mata.
Sedih dengan jumlah kerugian dialami, keluarga itu terus membuat laporan polis dengan harapan dapat menemui semula barangan berharga itu.
Pihak berkuasa kemudian memulakan operasi pencarian dengan meneliti rakaman CCTV untuk menjejaki laluan monyet terbabit.
Selepas hampir lapan jam, beg berkenaan ditemui ditinggalkan dalam semak dan lebih melegakan apabila semua barang kemas masih kekal berada di dalam beg tangan itu.
"Beg itu dijumpai dalam keadaan di dalamnya tidak terusik," kata Deputi Superintendan Polis Mathura Sadar, Sandeep Kumar Singh.
Walaupun keluarga Agarwal bersyukur dengan penemuan semula barangan mereka, kejadian itu menimbulkan semula kebimbangan terhadap tingkah laku monyet liar di kawasan ibadat sekitar Vrindavan.
Kuil itu memang terkenal dengan gelagat monyet yang gemar mencuri makanan, cermin mata dan kini, beg tangan mewah berisi berlian. - Sumber Times of India.
EmoticonEmoticon