Sabtu, 24 Mei 2025

Lelaki parah ditetak bekas suami teman wanitanya akibat cemburu


Angkara cemburu, seorang lelaki parah ditetak tiga individu termasuk bekas suami teman wanitanya di Pangsapuri Puchong Intan, Taman Puchong Intan, pagi tadi.


Mangsa yang berusia 47 tahun cedera di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan kini dilaporkan stabil.


Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.15 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan teman lelakinya diserang di kediaman mereka.


"Bekas suami wanita terbabit datang bersama dua rakannya ke lokasi sebelum memukul dan menetak mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai pisau serta batang besi.


"Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga serta perasaan cemburu," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurut Mohd Fairus, ketiga-tiga suspek sudah dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an.


"Kita masih lagi memburu mereka," ujarnya lagi.


Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


Mohd Fairus memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.15 pagi Sabtu daripada seorang wanita yang memaklumkan teman lelakinya diserang di kediaman mereka. - Foto IPD Subang Jaya.


EmoticonEmoticon