Sabtu, 21 Jun 2025

46 warga asing ditahan polis, protes depan bangunan serta rosakkan van kilang


Seramai 46 warga asing yang melakukan protes dengan merosakkan van kilang tempat mereka bekerja di hadapan perkarangan bangunan The Summit, Bukit Mertajam, malam tadi, direman selama empat hari bagi siasatan lanjut.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat jam 10.42 malam memaklumkan terdapat sekumpulan pekerja asing berkumpul di hadapan bangunan bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka.


"Siasatan awal mendapati bangunan hotel itu dijadikan hostel pekerja oleh sebuah syarikat yang beralamat di kawasan perindustrian Bukit Minyak.


"Bagaimanapun, pekerja asing itu tidak berpuas hati terhadap warden hostel yang juga seorang lelaki warga asing kerana mengutip denda ke atas pekerja jika melanggar peraturan syarikat.


"Ia dilakukan tanpa pengetahuan pihak syarikat dan menyebabkan beberapa pekerja yang tinggal di asrama bertindak berkumpul serta merosakkan van yang diletakkan di hadapan bangunan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, kesemua pekerja asing terbabit ditahan polis bagi tindakan selanjutnya.


"Reman yang dipohon di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam membenarkan seramai 46 lelaki terbabit direman selama empat hari hingga 24 Jun untuk siasatan lanjut," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.


Terdahulu tular video berdurasi satu minit dan 47 saat memaparkan sekumpulan pekerja asing melakukan demonstrasi di hadapan bangunan The Summit yang dijadikan asrama penginapan mereka.


Demonstrasi berkenaan mendapat kecaman warganet yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pekerja asing yang melampaui batas.


Tangkap layar memaparkan sekumpulan pekerja asing melakukan bantahan di hadapan bangunan The Summit Bukit Mertajam. - Foto Harian Metro.


EmoticonEmoticon