Seorang lelaki warga Thailand dipenjara selama 10 hari selepas cuba memberikan rasuah sebanyak SG$9 (RM30) kepada polis tempatan untuk mengelak daripada disaman akibat membuang air kecil di dalam longkang di Singapura, lapor portal berita Thaiger pada 3 Jun 2025.
Kejadian berlaku sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan) di kejiranan Choa Chu Kang berhampiran Sungei Tengah Lodge pada 17 Disember tahun lepas.
Nanjaijumpa Kham-Ai, 54, datang ke sebuah kedai untuk membaiki telefon bimbitnya yang rosak.
Dia bagaimanapun terpaksa pulang ke ladang (tempat kerja) untuk mengambil wang selepas menyedari wang sedia ada tidak mencukupi.
Sebelum memulakan perjalanan, Nanjaijumpa membuang air kecil ke dalam longkang dan perbuatan itu disaksikan oleh dua anggota polis bantuan yang sedang membuat rondaan.
Mereka memberitahu Nanjaijumpa bahawa tindakan tersebut adalah satu kesalahan dan dia akan dikenakan denda.
Nanjaijumpa merayu secara berulang kali dan menawarkan wang suapan sebanyak S$9 kepada anggota-anggota polis terbabit untuk mengelak daripada disaman tetapi ditolak.
Semasa perbicaraan di mahkamah, tertuduh memohon maaf sambil berjanji bahawa dia tidak akan membuang air kecil di tempat awam. - Sumber The Thaiger.
EmoticonEmoticon