Penghuni sebuah rumah di Kota Balikpapan, wilayah Kalimantan Timur terkejut apabila sebuah kereta menghentam bumbung kediaman itu selepas pemandunya hilang kawalan ketika menuruni bukit, lapor laman berita iNews pada 25 Jun 2025.
Dalam kejadian petang Selasa (24/6/2025), pemilik rumah yang dikenali sebagai Rio berkata, dia sedang berehat di dalam rumah apabila terdengar bunyi dentuman kuat.
"Saya sangkakan pokok tumbang. Selepas keluar dari rumah, rupa-rupanya sebuah kereta terpacak di atas bumbung rumah saya," katanya.
Gambar yang dimuat naik di media sosial menunjukkan kenderaan berwarna kuning itu terperosok di atas bumbung rumah dalam keadaan terpacak.
Ketua Rukun Tetangga, Joko, 64, berkata, kereta itu datang dari arah gereja dan sedang menuruni bukit dengan laju ketika kemalangan berlaku.
"Terdapat tiga penumpang di dalamnya dan semuanya selamat termasuk penghuni rumah," katanya.
Petugas kecemasan menggunakan jentera berat dan tali untuk menurunkan kereta, manakala kerja-kerja itu berlangsung selama beberapa jam sehingga malam. - Sumber iNews.
EmoticonEmoticon