Selepas beberapa hari berbalas kenyataan di media sosial, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersemuka di Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, hari ini.
Anthony Loke tiba pada majlis yang Kementerian Pengangkutan menjadi tuan rumah itu pada 12.45 tengah hari disusuli Onn Hafiz lima minit kemudian.
Turut kelihatan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan beberapa pemimpin DAP.
Kedua pemimpin politik itu dilihat saling bersalaman dan berbual mesra sebelum masing-masing berucap pada majlis berkenaan.
Memulakan ucapan, Onn Hafiz mengucapkan 'selamat datang' kepada Loke dan pasukannya ke negeri Johor.
Onn Hafiz berkata, beliau meminda dan menyusun semula jadual sebaik menerima notis pendek berhubung jemputan menghadiri majlis hari ini.
"Apa pun keadaan, kita faham dan dalam suasana luar biasa, kita harus kekal profesional dan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas sebagai kerajaan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Johor," katanya.
Perang media sosial di antara kedua-dua pemimpin itu bermula apabila Onn Hafiz dalam ucapannya menyatakan bahawa BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya parti gabungan itu membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Kenyataan itu dibuat Onn Hafiz ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Iskandar Puteri, 7 Jun lalu.
Malah, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Negeri Johor menegaskan ketika itu dia lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri.
Pada hari yang sama, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP menyindir Onn Hafiz dengan menyatakan bahawa pendirian Menteri Besar Johor itu bercanggah dengan realiti kerjasama BN dan DAP pada peringkat Persekutuan apabila Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hampir tiap-tiap minggu duduk di sebelahnya dalam mesyuarat.
Susulan itu, pada Sabtu lalu, Loke menjemput Onn Hafiz untuk menaiki KTM Komuter baharu bersama-sama dengannya pada majlis peluncurannya, hari ini.
Onn Hafiz kemudian membuat kenyataan 'terharu' apabila akhirnya 'dijemput' Loke, namun mendakwa belum menerima sebarang surat rasmi walaupun lawatan kerja hari ini sudah dirancang sejak seminggu yang lalu.
Onn Hafiz berkata jemputan diterima selepas beberapa lawatan Loke membabitkan projek di negeri ini tidak pernah membabitkan dirinya atau EXCO kerajaan negeri yang bertanggungjawab.
Loke pula menjawab beliau tidak menjemput Menteri Besar jika ia membabitkan lawatan kerja kerana memahami kesibukan Menteri Besar itu.


EmoticonEmoticon