Seorang janda antara tiga individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas pertuduhan merompak, mengurung, mencederakan mangsa serta memaksa mangsa berbogel sebelum merakam video.
Mereka ialah Aliza Khamis, 45, Nur Syuhaidah Saharan, 34, dan Mohamad Salehuddin Ali, 34.
Mohamad Salehuddin berhadapan empat pertuduhan, Nur Syuhaidah (tiga pertuduhan) manakala Aliza (satu pertuduhan) mengaku bersalah di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh dan Majistret Arun Noval Dass.
Di Mahkamah Sesyen, Mohamad Salehuddin dan Nur Syuhaidah didakwa bersama-sama dengan dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas, merompak secara berkumpulan berupa wang tunai RM4,200 dan telefon bimbit milik wanita berusia 33 tahun dengan bersenjatakan pisau.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang mana mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Manakala di mahkamah sama juga, Nur Syuhaidah didakwa positif dadah amphetamine dan methamphetamine buat kali ketiga.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) (b) dan dibaca bersama seksyen 38B akta yang sama.
Ibu kepada tiga anak itu juga mengaku bersalah sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun serta pengawasan dua tahun sebalik selesai hukuman.
Dalam pada itu, di Mahkamah Majistret, Aliza, Nur Syuhaidah dan Mohamad Salehuddin didakwa bersama-sama dengan rakan sejenayah yang masih bebas melakukan pengurungan salah terhadap mangsa sama.
Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 342 serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Selain itu, Nur Syuhaidah dan Mohamad Salehuddin juga berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 509 kanun sama kerana mengaibkan mangsa dengan merakam video dan gambar dalam keadaan berbogel.
Sementara itu, Mohamad Salehuddin turut didakwa menumbuk muka, badan, kaki, dada dan perut berulang-kali hingga menyebabkan mangsa sama cedera.
Bagi kes ini, bapa kepada dua anak didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, penjara sehingga setahun atau didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Prosiding di kedua-dua mahkamah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Susulan pengakuan semua tertuduh, mahkamah menetapkan esok untuk sebutan fakta dan hukuman, serta tiada jamin ditawarkan kepada Nur Syuhaidah dan Mohamad Salehuddin.

EmoticonEmoticon