Jumaat, 22 Mei 2026

Pekerja restoran mamak warga India ditangkap khalwat dengan janda


Seorang lelaki warga India dan seorang wanita tempatan ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah kampung di Johor Bahru awal pagi tadi.


JAINJ dalam perkongsian di Facebook, berkata serbuan dilakukan sepasukan penguat kuasa jabatan itu kira-kira jam 12.30 tengah malam hasil maklumat awam.


"Sebaik tiba di lokasi, anggota penguat kuasa mengetuk pintu rumah sebelum dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang hanya memakai pakaian tidur.


"Pemeriksaan dalam rumah yang pada waktu itu berkeadaan gelap menemui seorang lelaki di dalam bilik tidur dengan tidak berbaju dan hanya memakai seluar panjang," katanya.


Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati lelaki warga India Muslim berusia 30-an itu bekerja di sebuah restoran mamak di bandar raya ini dan sudah berkahwin di negara asalnya. Wanita terbabit pula warga tempatan berstatus janda dan bekerja di sebuah pasar raya.


"Pasangan itu mendakwa sudah bernikah, namun gagal mengemukakan sebarang dokumen pernikahan ketika diminta penguat kuasa.


"Mereka mendakwa bernikah namun gagal menjelaskan mengenai wali pernikahan hingga menimbulkan keraguan," katanya.


Difahamkan, lelaki itu dikatakan sering datang ke rumah wanita terbabit dan dipercayai membantu membayar sebahagian sewa rumah berkenaan.


Susulan itu, kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana berkhalwat.


EmoticonEmoticon