Seorang pemandu e-hailing kurang upaya (OKU) pendengaran yang mendakwa ditumbuk pengiring keselamatan seorang kenamaan (VVIP) berhampiran sebuah hotel lima bintang di ibu negara, memfailkan saman sivil berhubung insiden itu, selain pengendalian tidak wajar terhadap laporan polis dibuatnya.
Ong Ing Keong memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi pada 10 Julai lalu dengan menamakan Lans Koperal Muhammad Taufik Ismail, Inspektor Che W Hashimi Rafsanjani Che W Raksan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan.
Ong yang berdaftar sebagai OKU mendakwa kejadian berlaku pada 28 Mei 2024 ketika dia mengambil empat penumpang di luar Hotel St Regis, Kuala Lumpur Sentral.
Berdasarkan penyataan tuntutannya, ketika penumpangnya masih menaiki kenderaan, beberapa individu mengarahkannya mengalihkan kenderaan.
Selepas semua penumpang masuk dan ketika dia mahu beredar, defendan pertama iaitu Muhammad Taufik yang berpakaian preman, didakwa secara tiba-tiba menumbuk mukanya melalui tingkap sebelah pemandu tanpa sebarang amaran.
Plaintif mendakwa, serangan itu menyebabkan beliau mengalami kesakitan pada muka, kecederaan tisu lembut dan lebam pada bahagian bawah bibir atas, malah kejadian itu didakwa dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaannya.
Ong turut mendakwa selepas membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau diminta hadir semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Travers, yang mana telefon bimbitnya diambil selepas polis melihat rakaman dimuat turun daripada kamera papan pemuka itu.
Beliau mendakwa, polis memaklumkan telefon bimbit itu hanya akan dipulangkan jika beliau menarik balik laporan polis dan memadam rakaman video kejadian didakwa berlaku.
Sebagai seorang pekak yang bergantung kepada telefon bimbit untuk bekerja dan berkomunikasi, Ong mendakwa, beliau kehilangan akses kepada medium komunikasi utamanya selama beberapa jam.
Beliau juga mendakwa tidak diberikan jurubahasa bahasa isyarat, perkhidmatan transkripsi atau bantuan terjemahan walaupun berstatus OKU.
Ong turut mendakwa, pergerakannya di balai polis dihadkan dan kemudian didesak oleh defendan kedua iaitu Hashimi, supaya menarik balik laporan polis serta menyelesaikan perkara itu dengan menerima pampasan RM800.
Beliau mendakwa akhirnya bersetuju berbuat demikian kerana bimbang telefon bimbitnya terus dirampas, namun memaklumkan kepada polis pada keesokan harinya bahawa beliau mahu siasatan diteruskan.
Melalui saman itu, Ong menuntut ganti rugi am atas dakwaan serangan, kecuaian dan salah guna kuasa dalam jawatan awam serta pelanggaran tanggungjawab statutori mengikut Akta Polis dan Akta Orang Kurang Upaya.
Beliau turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos serta apa-apa relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 4 November 2024, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap Muhammad Taufik, atau penjara 20 hari jika gagal membayar, selepas beliau mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mencederakan Ong.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 11.40 pagi di lobi Hotel St Regis, Brickfields pada 28 Mei 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Insiden itu sebelum ini turut mengundang kritikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, yang menyifatkan cubaan mengaitkan institusi diraja dengan insiden berkenaan sebagai tidak wajar.


EmoticonEmoticon