Sabtu, 13 Jun 2026

Terdesak langsai hutang along, kelindan lori samun enam kedai serbaneka di sekitar daerah Melaka Tengah

(Foto dijana AI)

Seorang kelindan lori nekad melakukan samun di enam kedai serbaneka 24 jam sekitar daerah Melaka Tengah dipercayai akibat terdesak untuk melangsaikan hutang along.


Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, suspek lelaki berusia 27 tahun menyasarkan pekerja wanita yang bertugas di kaunter bayaran dengan berpura-pura membuat pembayaran sebelum mengacukan pisau kepada mangsa untuk mendapatkan wang.


Menurutnya, suspek berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada jam 3.30 petang, Khamis lalu, di Solok Bukit Bayan Jalan Bukit Katil.


"Hasil tangkapan tersebut, polis berjaya menyelesaikan kesemua enam kes samun melibatkan kedai serbaneka 24 jam dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM1,500.


"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah dan semakan lanjut turut mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, berdasarkan soal siasat awal, suspek mengaku melakukan perbuatan itu kerana mempunyai masalah hutang dengan along serta beberapa individu yang dikenalinya.


"Suspek akan berpura-pura membuat pembayaran bagi barangan yang diambil sebelum mengacukan pisau dan memaksa mangsa menyerahkan wang tunai dari laci kaunter.


"Selepas memperoleh wang tersebut, suspek akan melarikan diri menggunakan motosikal yang telah diletakkan berhampiran premis," ujarnya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan samun menggunakan senjata.


Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan.


EmoticonEmoticon