Seorang lelaki tempatan yang mempunyai 10 rekod jenayah dan kesalahan berkaitan dadah ditahan selepas dipercayai mencuri wayar tembaga di tiga pencawang elektrik milik Sarawak Energy sebelum menjualnya kepada sebuah premis barangan lusuh bagi mendapatkan wang membeli dadah.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan (DSP) Mathew Manggie berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan bersama pasangan suami isteri yang disyaki membeli wayar tembaga curi berkenaan dalam satu serbuan di pekarangan Balai Polis Betong semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 22 Disember 2025 di Lot 141, Blok 8 Awik-Krian Land District, Taman Krian Jaya, Saratok apabila pengadu, seorang peniaga berusia 75 tahun mendapati pintu pencawang elektrik telah dibuka dan wayar tembaga di dalamnya hilang.
"Hasil siasatan mendapati suspek mengaku bertindak bersendirian dengan menaiki motosikal dari Spaoh ke tiga lokasi berasingan, iaitu Taman Krian Jaya, Simpang Saratok dan Simpang Awik.
"Suspek menggunakan playar untuk memotong wayar tembaga sebelum melarikan diri. Dia juga mengaku menjual semua wayar tembaga yang dicuri kepada pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan membeli barangan lusuh di Jakar, Sarikei pada harga RM120," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Sementara itu, pasangan suami isteri berusia 40 dan 38 tahun yang turut ditahan didapati negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 431A dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Ketiga-tiga suspek direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut," ujarnya.


EmoticonEmoticon