Jumaat, 31 Julai 2026

Rohingya: "Kami ada kad UNHCR, kenapa perlu takut?"


"Kami ada k KLad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian), kenapa perlu takut." Demikian kata etnik Rohingya yang ingin dikenali sebagai Kobir, 34, ketika ditemui hari ini.


Tinjauan media di sekitar Bandar Kota Bharu mendapati masih ada warga asing terutama etnik Rohingya, Bangladesh dan Myanmar yang keluar bersantai, membeli-belah serta berkumpul walaupun pada Jumaat lalu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan Operasi Penguatkuasaan (Ops Mega).


Mereka kelihatan bersahaja dan melakukan aktiviti rutin seperti membeli barangan keperluan, bertemu rakan dan lepak. Menurut Kobir, dia serta rakan-rakan tidak takut kerana mereka mempunyai dokumen lengkap.


"Kami hanya cuti pada hari Jumaat, malah gaji sebagai tukang rumah dibayar pada Khamis. Di sini ada jualan pelbagai barangan seperti sayur-sayuran, buah-buahan serta pakaian yang dijual dengan harga murah, berbanding tempat lain," katanya.


Ujar dia yang sudah menetap lapan tahun di Malaysia memberitahu, setakat ini mereka cuba mengelak daripada melakukan perkara yang dilarang dan hanya menjalani kehidupan seperti masyarakat tempatan lain.


Bagi peniaga yang ingin dikenali sebagai Siti Ismail, 50, memberitahu, dia serta peniaga lain tidak menolak kehadiran warga asing pada hari minggu membantu melariskan jualan.


Dia yang menjual makanan berkata, pembeli tempatan sudah tidak seramai dulu dan hanya golongan ini yang berbelanja sakan.


"Pembeli tempatan mungkin ke pasar raya, atau pasar berhampiran. Setakat ini yang banyak melariskan barangan jualan ialah warga asing. Mereka akan membeli dengan banyak terutama melibatkan makanan," katanya.


Sementara itu, penduduk tempatan yang ingin dikenali sebagai Ina Kamarul, 37, mengakui kurang selesa dengan kehadiran warga asing yang terlalu ramai setiap kali hujung minggu.


"Saya harap pihak berkuasa dapat menjalan operasi berkala dalam meredakan keresahan penduduk setempat," katanya.


Terdahulu, media melaporkan lebih 13,000 etnik Rohingya dipercayai berada di negeri ini termasuk kira-kira 8,000 individu yang tidak memiliki kad UNHCR.


Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, setakat ini seramai 5,373 etnik Rohingya direkodkan memiliki kad UNHCR, manakala baki dianggarkan berada di negeri ini tanpa dokumen berkenaan.


Pada Jumaat lalu, hasrat 362 individu warga asing untuk membeli-belah serta bersantai pada hujung minggu pada Jumaat tidak kesampaian apabila Bandar Kota Bharu 'digempur' oleh JIM, KPDN dan MPKB-BRI.


Ops Mega yang bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu dilakukan di 11 'hotspot' di sekitar bandar ini melibatkan tangkapan warganegara Nepal, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Thailand, Kemboja, Myanmar dan etnik Rohingya. - Sinar Harian.


EmoticonEmoticon