Isnin, 26 Oktober 2026

Berjudi dalam talian di tempat awam, lelaki didenda RM2,700


KUCHING - Seorang lelaki didenda RM2,700 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah berjudi dalam talian di sebuah kedai serbaneka di Matang, September lalu.


Majistret Nureina Syafika Mohd Najib turut memerintahkan Bryan Chok Zao Yao, 24, dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Bryan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, polis menjalankan pemeriksaan di sebuah kedai serbaneka di Lorong Lee Ling 1D, Matang, kira-kira jam 9 malam pada 20 September 2026.


Pemeriksaan terhadap Bryan yang berada di dalam premis itu menemukan sebuah telefon bimbit mengandungi unsur perjudian dalam talian.


Polis turut merampas telefon bimbit, sekeping kertas tertera ID dan kata laluan serta wang tunai RM40 sebelum menahan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut.


Siasatan mendapati Bryan mengaku bermain judi dalam talian menggunakan telefon bimbit ketika berada di tempat awam.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


EmoticonEmoticon