Isnin, 26 Oktober 2026

Guru tuisyen, jurulatih kecergasan didakwa laku amang seksual kanak-kanak


Seorang guru tuisyen dan jurulatih kecergasan masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen Muar, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.


Kedua-dua tertuduh, Wong Jhun Kiat, 32, dan Mahadir Ahmad, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.


Wong didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dua murid perempuan berusia enam tahun di sebuah pusat tuisyen di Batu Pahat.


Bagi pertuduhan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.


Sementara itu, Mahadir yang juga duda dan bapa kepada seorang anak, didakwa melakukan kesalahan sama terhadap rakan anak perempuannya berusia 10 tahun di rumahnya di Batu Pahat, kira-kira jam 2 petang, 17 Oktober lalu.


Dia berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 15(a)(ii) akta sama.


Berdasarkan laporan, Wong didakwa mengambil kesempatan terhadap mangsa ketika mengajar tuisyen, manakala Mahadir didakwa melakukan perbuatan itu ketika mangsa mandi di rumahnya.


Kes berkenaan terbongkar selepas seorang daripada mangsa pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya.


Mahkamah menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta membolehkan Mahadir melantik peguam.


Mahkamah membenarkan Wong diikat jamin RM10,000, manakala Mahadir RM12,000. Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan masing-masing.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian. Wong diwakili peguam Ahmad Azimuddin Bahamdin, manakala Mahadir tidak diwakili peguam.


EmoticonEmoticon