TAWAU - Seorang wanita warga China direman empat hari selepas disyaki terbabit dalam kegiatan persundalan yang berselindung di sebalik operasi sebuah pusat refleksologi berhampiran pusat bandar, malam tadi.
Wanita berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan Op Tembok/Op Noda oleh sepasukan polis dari Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau serta Jabatan Tenaga Kerja Tawau, kira-kira jam 8.37 malam.
Ketika serbuan, wanita terbabit ditemui bersama seorang anggota polis penyamaran di dalam sebuah bilik di tingkat satu premis berkenaan.
Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan minyak pelincir, kondom terpakai dan belum digunakan, plastik pembungkus kondom, sebuah beg serta wang tunai RM500 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu. Pasport wanita berkenaan turut dirampas.
Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang dipercayai pemilik premis bagi membantu siasatan.
Wanita itu dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan reman selama empat hari sehingga 30 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

EmoticonEmoticon