Lapan wanita warga asing ditahan selepas disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) tanpa permit kerja yang sah di sebuah pusat hiburan di Jalan Kubu, Miri pada 4 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan kira-kira jam 12.05 tengah malam itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri hasil risikan terhadap premis berkenaan.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun turut ditahan bersama lapan wanita warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun. Pemeriksaan mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Lelaki tempatan itu ditahan kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah, manakala lapan wanita terbabit disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja sebagai GRO.
Mohd Farhan berkata, lelaki berkenaan direman selama dua hari sehingga 6 Oktober lalu, manakala lapan wanita warga asing itu ditahan selama 14 hari di Lokap Balai Polis Trafik Miri bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pekerja yang didapati bersalah.
Kes turut disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang melibatkan operasi premis hiburan.


EmoticonEmoticon