Ahad, 11 Oktober 2026

Dua lelaki bawa senjata, dadah ditahan selepas dikejar dari Bukit Antarabangsa ke Setiawangsa


Dua lelaki ditahan selepas dikejar anggota kereta peronda polis (MPV) dari Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa menghala ke Lebuhraya MRR2, Hulu Kelang berhampiran Ampang Jaya, Kuala Lumpur, hari ini.


Kedua-dua suspek ditahan ketika berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max berwarna oren, di persimpangan Jalan Jelatek dengan Jalan Taman Setiawangsa, berhampiran stesen minyak Caltex Setiawangsa.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika anggota bertugas di Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, menerima makluman daripada anggota MPV SL 321 yang sedang mengejar kenderaan terbabit.


"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan beberapa barangan, termasuk sebilah parang, sebilah sabit dan peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kabel, antaranya alat pembuka penutup lurang pembetung (manhole).


"Polis turut merampas bahan disyaki dadah daripada kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada media hari ini.


Beliau berkata, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


"Sementara itu, kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.


"Bagi Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.


Manakala Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Terdahulu, tular beberapa video di aplikasi Threads, berhubung kejadian berkenaan yang memaparkan kenderaan suspek merempuh pembahagi jalan di persimpangan Jalan Jelatek-Setiawangsa, sebelum tersekat di laluan bertentangan.


Berdasarkan rakaman video orang awam, salah seorang suspek kemudian melarikan diri, namun berjaya diberkas oleh polis dengan dibantu pengguna jalan raya yang berada berhampiran.



EmoticonEmoticon