Seorang lelaki yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes mencuri di pusat beli-belah di Plentong, Johor Bahru disahkan positif dadah serta memiliki dua rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pada jam 11 malam semalam, ibu pejabat polis daerah Seri Alam mengesan suatu rakaman video tular berdurasi selama 39 saat yang dimuatnaik menerusi media sosial threads oleh pemilik akaun @nisszzzzz_17.
Beliau berkata, ia memaparkan perselisihan antara dua pihak iaitu seorang individu disyaki mencuri dan pekerja sebuah premis di dalam pusat membeli-belah melalui media sosial threads.
"Satu laporan polis bersabit dengan kejadian terbabit diterima. Seorang suspek berusia dalam lingkungan 40 tahun ditahan dan dibawa balik ke IPD Seri Alam bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu tular rakaman video menunjukkan seorang lelaki berselisih faham dengan seorang wanita yang juga pekerja sebuah premis di pusat membeli-belah di Plentong selepas didakwa mencuri.
Kejadian berlaku ketika lelaki berkenaan menghampiri motosikalnya untuk beredar dari lokasi itu. Kejadian itu menarik perhatian beberapa pengunjung yang menghampiri lelaki berkenaan.
Mohd Sohaimi berkata, hasil semakan mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.
"Hasil ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta 1952 iaitu memasukkan dadah dalam badan.
"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.
"Bagaimanapun, polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berkaitan kejadian yang berlaku," katanya.
Beliau berkata, polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada balai polis berhampiran.

EmoticonEmoticon