Ahad, 27 September 2026

Menang Lagu Rap Terbaik AIM 25, Yonnyboii gelisah terpaksa cukur botak


Penyanyi rap, Yonnyboii sedang mempertimbang untuk mengotakan janji dibuatnya, iaitu mencukur botak kepala sekiranya memenangi trofi pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25, malam tadi.


Janji yang pada asal dibuat sekadar 'main-main' itu ternyata mendatangkan kegelisahan buat dirinya apabila mengakui tidak sepenuhnya bersedia untuk mengorbankan rambut yang sudah disimpan selama ini.


Ia berikutan, Yonnyboii atau nama sebenar, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 28, mengakui wajahnya akan kelihatan kurang menawan sekiranya tampil dengan imej botak, selain timbul rasa malu untuk berhadapan orang ramai.


"Isteri saya sebenarnya tak suka (imej botak), tapi saya sudah terjanji. Mungkin saya akan potong sikit saja, atau sekadar buat 'buzz cut', jadi saya minta bagilah peluang.


"Sebenarnya saya akan nampak tak okay kerana rupa saya buruk kalau botak," katanya pada sidang media AIM 25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), malam tadi.


Menerusi AIM 25, Yonnyboii melakar kejayaan peribadi apabila lagu Tanya Tuhan dendangannya bersama bintang rap terkenal, Malique diumum sebagai pemenang kategori Lagu Rap/Hip Hop Terbaik.


Kejayaan itu menyaksikan kolaborasi Yonnyboii dan Malique berjaya mengenepikan empat lagu lain seperti Last Time oleh Sonaone, 501 (Joe Flizzow), Kemana Ni (Kmy Kmo, Luca Sickt dan Salammusik) dan Meta Dergama (K.O.I).


Dalam pada itu, Yonnyboii mengakui tidak menjangkakan keputusan kategori berkenaan akan memihak kepadanya kerana hadir ke AIM 25 tanpa sebarang jangkaan tinggi.


Katanya, dia juga tidak menerima sebarang pemakluman awal mengenai kemenangannya dalam kategori berkenaan.


"Memang tak jangka saya akan menang, tiada orang bagi tahu. Tiba-tiba bila keputusan diumumkan, saya menang. Jadi, agak terkejut juga," katanya.


EmoticonEmoticon