Ahad, 27 September 2026

Panik disapa 3 individu tak dikenali, lelaki pecut kereta sehingga langgar beberapa kenderaan


Cemas disapa tiga lelaki tidak dikenali dipercayai punca seorang pemandu memecut keretanya untuk melarikan diri sehingga melanggar beberapa kenderaan lain di bahu jalan di Pangsapuri Seri Intan, Jalan Lembah Jaya, Ampang, semalam.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, ketika kejadian, mangsa mendakwa baru selesai menghantar seorang rakan wanita pulang ke rumah selepas selesai aktiviti mendaki Bukit Melati, di Nilai, Negeri Sembilan.


"Selepas selesai menghantar rakan, mangsa didatangi tiga lelaki yang mana salah seorang mengetuk cermin bahagian pemandu dan meminta mangsa untuk turun dari kereta," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, oleh sebab takut, mangsa bertindak memecut kenderaannya, sambil tiga lelaki terbabit mengejar, namun kenderaan dipandu lelaki itu melanggar beberapa kenderaan yang diparkir di bahu jalan.


Katanya, tiga lelaki terbabit menahan kenderaan terbabit lalu memukul mangsa di hadapan Apartmen Orkid sehingga kejadian itu tular di media sosial.


"Motif tiga lelaki berkenaan mengetuk cermin kereta mangsa sedang disiasat. Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 323 Kanun Keseksaan.


"Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan boleh dipenjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.


"Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, mereka boleh dipenjara maksimum sehingga satu tahun, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali," katanya.


Terdahulu, tular di media sosial satu klip video berdurasi 43 saat memaparkan sebuah kereta mengalami kerosakan dan cermin pecah pada bahagian penumpang belakang, serta beberapa lelaki dilihat menahan kenderaan itu.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon