Ahad, 27 September 2026

Pusat hiburan hidang 'tarian seksi' penari lelaki warga asing diserbu


Sebuah premis yang menawarkan hiburan dan persembahan tarian oleh warga asing membabitkan golongan 'sejenis' diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada jam 12.05 tengah malam, Sabtu.


Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama sebulan, pasukan operasi terdiri daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur diatur gerak ke lokasi pusat hiburan.


"Seramai tiga lelaki warga China dan seorang lelaki warga Filipina ditahan dalam operasi itu.


"Modus operandi pusat hiburan ini menawarkan hiburan dan persembahan tarian oleh warga asing membabitkan golongan 'sejenis', dengan menyasarkan pelanggan warga tempatan dan asing," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis yang beroperasi sejak tahun lalu itu menawarkan persembahan tarian golongan 'sejenis' dengan mengenakan bayaran bermula RM53 hingga RM700.


"Harga akan dikira mengikut minuman dan tempahan meja pelanggan," katanya.


Zakaria berkata, keseluruhannya empat lelaki warga asing ditahan berusia antara 21 hingga 31 tahun dipercayai bekerja di premis berkenaan.


Katanya, semakan awal mendapati kesemua warga asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.


"Mereka ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.


"Seramai tiga lelaki warga tempatan pula diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.


Zakaria berkata, JIM akan terus tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan berterusan dengan kerjasama agensi lain yang berkaitan bagi membanteras sebarang aktiviti melanggar undang-undang.


Antara individu yang diperiksa JIM dalam operasi di sebuah pusat hiburan pada Sabtu.


EmoticonEmoticon