Ahad, 25 September 2022

Lelaki tikam isteri dalam serangan ngeri kerana curang dalam mimpi

Lelaki tikam isteri dalam serangan ngeri kerana curang dalam mimpi

Polis Brazil akan mendakwa suspek dengan tuduhan cubaan membunuh. - AFP/Getty Images.

Seorang lelaki dituduh menikam isterinya selepas terjaga dari mimpi yang memaparkan wanita itu menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain, lapor akhbar Mirror UK pada 21 September 2022.


Lelaki berusia 37 tahun itu menikam isteri yang dikahwininya sejak 13 tahun lalu pada leher, tulang selangka dan tangan dalam kejadian di rumah mereka di Planaltina, Daerah Persekutuan Brazil.


Insiden dikatakan berlaku pada 9 Ogos lalu, manakala suspek melarikan diri dan ditahan lima minggu kemudian.


Menurut polis, pasangan suami isteri yang memiliki empat anak itu bertengkar di tengah malam selepas suspek bermimpi pasangannya menjalinkan hubungan sulit.


Suspek yang identitinya tidak didedahkan oleh polis, mengambil sebilah pisau dan dikatakan mengugut mangsa ketika bertanya tentang mimpinya.


Mangsa menafikan sebarang salah laku dan meyakinkannya bahawa itu hanyalah khayalan lelaki berkenaan.


Menyangka perkara tersebut selesai, mangsa kembali menyambung tidur, namun suspek dipercayai masih teringat-ingat akan mimpinya hingga menimbulkan rasa marah.


Lelaki itu kemudiannya mengambil pisau dan menikam badan mangsa berulang kali. Bagaimanapun, isterinya bernasib baik kerana berjaya melarikan diri daripada serangan itu dan dibawa ke hospital oleh jiran-jiran.


"Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan isterinya kerana menganggap mimpinya sebagai petunjuk sebelum mengambil pisau dan menikam mangsa.


"Wanita itu sempat melarikan diri dan sedang dirawat di sebuah hospital perbandaran," kata ketua polis tempatan, Thiago Cesar.


César berkata, lelaki itu mengaku melakukan jenayah itu dan dia mempunyai rekod jenayah lampau bagi pembunuhan yang berlaku di Formosa, Negeri Goiás. Suspek kini berdepan pertuduhan cubaan membunuh. - Sumber Mirror UK.


Polis masih belum mendedahkan identiti suspek tetapi mengatakan dia telah mengaku melakukan jenayah itu. - Foto Sportsfile via Getty Images.

Sabtu, 24 September 2022

Kalau tiada calon lain, saya sudi jadi Perdana Menteri kali ketiga - Tun M

Kalau tiada calon lain, saya sudi jadi Perdana Menteri kali ketiga - Tun M


Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk memegang jawatan Perdana Menteri buat kali ketiga, sekiranya terus menerima desakan dan tiada calon lain yang bersesuaian.


Menurut Tun, dia sebenarnya mahu memilih untuk berehat dan hanya memainkan peranan sebagai penasihat. Namun, katanya jika terus menerima desakan, beliau tidak keberatan untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.


"Kalau nak fikir tentang kedudukan, saya lebih suka kalau boleh berehat. Walaupun berehat, saya akan memainkan peranan sebagai pakar rujukan, atau memberi nasihat, itu boleh kita buat.


"Tetapi, kalau desakan demi desakan datang, saya nak fikir tentang diri sendiri pun susah, jadi kalau desakan datang dan tiada calon lain, saya terimalah," katanya pada program 'Hard Talk with Dr Mahathir' di Pusat Konvensyen Bangi.


Bekas Perdana Menteri itu turut memaklumkan, sekiranya dilantik sekali lagi, berkemungkinan beliau tidak akan memegang jawatan itu dalam tempoh yang terlalu panjang mengambil kira keadaan semasanya.


"Tak bolehlah sampai lima tahun, mungkin satu tahun sahaja, tapi kalau orang nak, pasal saya tak nak orang anggap saya tubuh PEJUANG, tubuh Gerakan Tanah Air untuk saya jadi Perdana Menteri kali ketiga, itu bukan niat saya.


"Saya cuma nak tentukan dasar-dasar yang menolong orang Melayu dapat dilaksanakan oleh kerajaan yang prihatin, yang sayang kepada bangsa, negara dan agama," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menegur kepincangan tadbir urus kerajaan hari ini, salah satunya disebabkan pemimpin yang tidak layak termasuk tidak mempunyai kelulusan tinggi dilantik sebagai menteri.


"Waktu saya mula terbabit dengan UMNO, saya buat cadangan yang nak jadi calon mesti lulus sekolah standard tertentu, tetapi ramai marah sebab yang tidak ada kelulusan pun nak jadi calon.


"Tetapi sekarang ini, yang tak ada kelulusan apa pun boleh jadi menteri," katanya yang kesal kerana trend semasa yang memperlihat calon popular dan meraih sokongan ramai, biasanya diangkat sebagai calon dalam pilihan raya.


Tegasnya, pemilihan sedemikian yang mengakibatkan kualiti pentadbiran dalam kerajaan menurun.


"Saya yakin kalau kita diserang krisis kewangan, tiada siapa boleh laksanakan. Satu daripadanya kerana kualiti pemimpin sudah merosot kerana kita tidak boleh tentukan orang yang dipilih terdiri daripada orang yang ada kelulusan tertentu.


"Kalau tak diberi (jawatan) kepada orang ini, dia akan sabotaj kita, inilah masalah yang kita hadapi," katanya.


Mahathir yang kini berusia 97 tahun, berkhidmat sebagai Perdana Menteri keempat selama 22 tahun iaitu pada 1981 sehingga 2003 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).


Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali kedua selama 22 bulan pada 2018 hingga 2020, memimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH). - Sumber Utusan Malaysia.

Lelaki nekad jalan kaki sejauh 1,350 kilometer pulang ke kampung selepas hilang kerja

Lelaki nekad jalan kaki sejauh 1,350 kilometer pulang ke kampung selepas hilang kerja


Seorang lelaki yang berkerja di wilayah selatan Songkhla nekad berjalan kaki pulang ke kampungnya di Buriram di timur laut Thailand, sejauh 1,350 kilometer selepas kehilangan pekerjaan, lapor laman berita Thaiger pada 22 September 2022.


Choi yang berusia 42 tahun berpindah ke Songkhla kira-kira tujuh bulan lalu untuk bekerja di sebuah ladang getah dan menerima bayaran 300 baht (RM36.73) sehari bagi tugas menebang pokok.


Bagaimanapun, dia hilang pekerjaan selepas pokok yang perlu ditebang semakin terhad dan dia hampir tidak menjana wang langsung. Dia merindui neneknya dan anak perempuan yang berusia 11 tahun, jadi dia memutuskan untuk pulang semula ke kampung pada 5 September.


Disebabkan tidak memiliki wang atau telefon bimbit, Choi memulakan perjalanan yang mengambil masa 18 jam jika berkereta, tetapi dia balik dengan berjalan kaki.



Choi sempat berjalan sejauh 300 kilometer dalam masa 12 hari dengan tidur di kuil-kuil serta memakan makanan yang diberi oleh sami di situ.


Nasibnya berubah apabila bertemu sebuah berek tentera di wilayah Patthalung dan Choi berhenti di sana untuk meminta sedikit bekalan air minuman.


Pada mulanya, askar di situ menyangka Choi penjenayah dan menahannya untuk sesi soal siasat sebelum mengetahui cerita sebenar.


Pihak askar memberitahu Choi bahawa mereka akan membayar tiket kapal terbangnya untuk terbang pulang ke Buriram. Bagaimanapun, Choi berkata dia tidak pasti cara menaiki kapal terbang. Mereka kemudian memberikan wang sebanyak 1,000 baht (RM122) dan menghantarnya ke stesen kereta api.


Choi meneruskan perjalanan selama 13 jam dari Phatthalung ke Stesen Kereta Api Hua Lamphong di Bangkok. Dari sana, dia menaiki kereta api selama lapan jam dari Bangkok ke Buriram dan tiba di kampung halaman dengan selamat.


Setibanya di Buriram, nenek Choi yang berusia 81 tahun, La mengikat beberapa tali di pergelangan tangan Choi sebagai tanda terima kasih. La berkata, dia berasa kasihan kerana cucunya telah berjalan sejauh 300 kilometer merentasi selatan Thailand.


La mengucapkan terima kasih kepada tentera kerana membantu Choi dan tertanya-tanya berapa lama masa yang diambilnya untuk pulang jika dia berjalan sepanjang perjalanan. Jarak antara Songkhla dan Buriram ialah 1,350 kilometer. - Sumber The Thaiger.


Choi (duduk di lantai) bercerita kisah hidupnya kepada salah seorang askar di berek tentera di Patthalung. - Foto Khaosood.

Jumaat, 23 September 2022

Wanita bersama tiga rakan, didakwa bunuh suami dalam rompakan palsu dihadapkan ke Mahkamah Majistret

Wanita bersama tiga rakan, didakwa bunuh suami dalam rompakan palsu dihadapkan ke Mahkamah Majistret


KLANG - Seorang wanita berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh suaminya dalam kejadian rompakan palsu di sekitar daerah ini, minggu lalu.


Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Leong Eng Eng, 37, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd Jusan. Turut didakwa, tiga lelaki termasuk dua beradik iaitu Lim Yon Hay, 36, Lim Yon Loon, 31, dan Mok Kum Loon, 37.


Mengikut pertuduhan, Eng Eng yang juga jurubahasa bebas bersama pasangan beradik itu didakwa membunuh dengan mengakibatkan kematian Chow Tiam Hee, 41.


Manakala, Kum Loon didakwa bersubahat membantu Eng Eng bersama dua beradik berkenaan untuk membunuh si mati. Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Anika Baru, Sungai Udang di sini, antara pukul 1.20 hingga 1.40 pagi, 15 September lalu.


Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah yang mengendalikan kes tidak menawarkan kos ikat jamin terhadap semua tertuduh.


Peguam yang mewakili Eng Eng, Jarrett Ong bagaimanapun memohon jaminan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan dua anak berusia lima dan tujuh tahun selain memberi kerjasama baik dengan polis.


Majistret kemudian menolak permohonan itu dan menetapkan sebutan kes pada 21 November depan. Dua lagi tertuduh iaitu Yon Loon dan Kum Loon masing-masing diwakili peguam Ethan Tan dan V Ayasamy.


Media pada Isnin lalu melaporkan seorang wanita ditahan selepas dipercayai menjadi dalang rancangan pembunuhan suaminya dalam kejadian di Taman Anika Baru, Sungai Udang, Klang, pada 15 September lalu.


Selain wanita berusia 37 tahun itu, turut ditahan empat lelaki tempatan berusia 20 hingga 36 tahun yang juga kenalannya.


Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata laporan awal oleh isteri mangsa mendakwa dua lelaki berpakaian hitam serta memakai topeng memasuki rumah mereka, dan menikam suaminya sebelum menggeledah rumah serta mengambil pelbagai beg tangan berjenama, barangan kemas dan wang tunai RM40,000.


Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut polis membongkar kejadian sebenar yang mana isteri dipercayai telah membuat perancangan dan persiapan pembunuhan suami sendiri. - Sumber Kosmo! Online.


Tertuduh, Leong Eng Eng, 37, dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pagi ini ketika didakwa atas tuduhan membunuh suaminya dengan kerjasama tiga rakan pada 15 September 2022 lalu. - Foto NSTP/Norzamira Che Noh.
Lelaki maut selepas tertelan tulang ikan menyebabkan ususnya berlubang

Lelaki maut selepas tertelan tulang ikan menyebabkan ususnya berlubang


Seorang petani di Sri Lanka maut selepas tertelan tulang ikan yang menembusi ususnya serta mencetuskan jangkitan yang membawa maut. Laporan kes yang memperincikan kejadian itu diterbitkan dalam jurnal perubatan, International Journal of Surgery Case Reports.


Memetik laporan akhbar New York Post pada 20 September 2022, pesakit berusia 60 tahun dengan namanya tidak didedahkan itu mengunjungi Hospital Besar Daerah di Sri Lanka selepas mengalami sakit perut, muntah, sembelit dan perut kembung selama tiga hari.


Selepas mengesyaki pesakit berkenaan mengalami kejutan septik, doktor bergegas membawanya ke unit rawatan rapi, di mana imbasan mendapati perutnya dipenuhi cecair.


Gejala itu menunjukkan bahawa buah pinggang pesakit berkenaan telah berhenti berfungsi yang menunjukkan tanda-tanda kemungkinan sepsis, di mana sistem imun badan bertindak menyerang organnya sendiri.


Selepas menjalani pembedahan selama dua jam, kakitangan perubatan menemui lubang kecil pada usus petani tersebut yang berpunca daripada tulang ikan sepanjang 2 sentimeter, lapor akhbar Daily Mail.


Serpihan tulang yang kelihatan tidak berbahaya itu membocorkan usus pesakit berkenaan, menyebabkan najis meresap keluar dan kuman menjangkiti dinding perutnya. Akibatnya, usus membesar manakala nanah kuning terkumpul di sekeliling lubang itu.


Dalam usaha untuk menyelamatkan pesakit tersebut, doktor menghiris sebahagian usus berukuran 10 sentimeter dan mengalirkan lubang tersebut dengan tujuan untuk menyambung semula usus yang sihat selepas jangkitan dihapuskan.


Meskipun telah berusaha sedaya upaya, pesakit itu bagaimanapun meninggal dunia akibat serangan jantung hanya lapan jam selepas dimasukkan ke bilik kecemasan, demikian menurut laporan tersebut.


"Tulang ikan adalah penyebab utama 'perforasi gastrousus'," tulis penulis kajian.


Dalam cara kematian yang sama pada 2021, seorang lelaki Belanda mati tercekik selepas menelan kunci keretanya ketika bercuti di Sepanyol. - Sumber New York Post.


Seorang petani meninggal dunia secara tragis akibat jangkitan kuman selepas tertelan tulang ikan. Dia juga tidak mengingati pernah menelan tulang ikan tersebut. - Foto B.M. Munasinghe/IJSCR.

Khamis, 22 September 2022

Planet Musytari akan berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi 26 September ini

Planet Musytari akan berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi 26 September ini


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan bahawa Planet Musytari akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi pada 26 September ini, lapor akhbar Daily Mail pada 20 September 2022.


Ini bermaksud orang ramai berpeluang melihat planet terbesar dalam sistem suria itu dalam keadaan paling jelas ketika ia menghampiri Bumi pada jarak paling dekat bagi tempoh 59 tahun.


"Orang ramai berpeluang melihat pemandangan indah Planet Musytari sepanjang malam 26 September ini apabila ia mencapai kedudukan tersebut," kata NASA dalam satu hantaran blog.


Fenomena 'pertentangan' itu berlaku dari sudut pandangan Bumi apabila planet itu berada di bahagian timur dan Matahari terbenam di Barat. Ia akan meletakkan Matahari dan Musytari pada kedudukan yang benar-benar bertentangan antara satu sama lain.


Pertentangan Musytari berlaku dalam tempoh setiap 13 bulan, namun pada 26 September ini, planet tersebut akan kelihatan lebih terang dan besar berbanding biasa.


"Bukan itu sahaja, Musytari akan berada paling hampir dengan Bumi dalam tempoh 59 tahun. Kali terakhir ia mencapai pendekatan paling dekat dengan Bumi sejak 1963," kata NASA.


Musytari dikatakan akan berada pada jarak 587 juta kilometer dari Bumi ketika ia dalam kedudukan paling hampir dengan planet kita. Planet besar itu terletak kira-kira 965 juta kilometer dari Bumi pada titik paling jauh. 


Menurut NASA, Bumi dan Musytari tidak mengorbit Matahari dalam bulatan sempurna, ini bermakna mereka melepasi satu sama lain pada jarak yang berbeza sepanjang tahun.


"Pendekatan Musytari yang paling dekat dengan Bumi hampir tidak pernah bertepatan, yang bermaksud pandangan tahun ini akan menjadi 'luar biasa'," kata NASA.


Walaupun Musytari adalah salah satu daripada beberapa planet yang boleh dilihat dengan mata kasar, NASA masih mengesyorkan menggunakan beberapa jenis instrumen.


"Dengan teropong yang baik, pita (sekurang-kurangnya jalur tengah) dan tiga atau empat satelit Galilea (bulan) seharusnya dapat dilihat," kata Adam Kobelski, ahli astrofizik penyelidikan di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall NASA di Huntsville, Alabama, dalam satu kenyataan.


Kobelski berkata, tempat 'menonton' yang ideal adalah pada ketinggian yang tinggi di kawasan yang gelap dan kering.


"Teleskop 4-inci atau lebih besar akan membolehkan pemerhati melihat Bintik Merah Besar Musytari dan jalur dengan lebih terperinci," katanya. - Sumber Daily Mail.


Musytari akan berada paling hampir dengan Bumi dalam tempoh 59 tahun. - Foto NASA.

Rabu, 21 September 2022

Petani temui mozek era Byzantine yang memiliki corak 'aneh' ketika bercucuk tanam di kebun zaitunnya

Petani temui mozek era Byzantine yang memiliki corak 'aneh' ketika bercucuk tanam di kebun zaitunnya


Seorang petani Palestin dan anaknya menemui artifak berupa mozek berharga ketika era Byzantine, yang bercorak pelbagai jenis burung berwarna-warni dan beberapa haiwan lain selepas membuat penggalian hampir tiga bulan di kebunnya, lapor akhbar Reuters pada 18 September 2022.


Penemuan mozek itu mendapat perhatian dalam kalangan ahli arkeologi tempatan kerana ia merupakan salah satu khazanah arkeologi terbesar pernah ditemui di Gaza.


Salman al-Nabahin menemui peninggalan berkenaan enam bulan lalu ketika melakukan kerja bercucuk tanam di kebun zaitunnya di kem pelarian Bureij, kira-kira satu kilometer dari sempadan Israel.


"Saya memilih untuk merahsiakan penemuan ini sehingga sesi penggalian tamat dan menutup mozek itu menggunakan kepingan timah sepanjang tiga bulan lepas," kata Salman.


Menurutnya, pada mulanya dia hairan dan tertanya-tanya berikutan beberapa pokok yang ditanamnya tidak tumbuh dengan baik.



Beliau bersama anaknya kemudian menggali tanah berkenaan sebelum kapak digunakan anaknya terkena sesuatu yang keras dan tidak dikenali rupanya.


"Saya membuat carian di internet sebelum mengetahui ia adalah mozek milik era Byzantine.


"Saya melihatnya sebagai sesuatu yang sangat berharga, lebih mahal daripada harta, ia bukan kepunyaan peribadi namun milik setiap rakyat Palestin," kata bapa kepada tujuh anak itu.


Sementara itu, menurut Kementerian Pelancongan dan Kepurbaan Palestin, lantai membabitkan beberapa panel mozek berkenaan menggambarkan haiwan dan ciri-ciri lain kehidupan sosial ketika era Byzantine.


"Penemuan arkeologi masih di peringkat awal dan kami menunggu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rahsia dan nilai ketamadunannya.


"Pasukan penyelidik kebangsaan sedang bekerjasama dengan pakar dan saintis antarabangsa dari Sekolah Arkeologi Perancis bagi tujuan itu," katanya dalam satu kenyataan.


Susulan penemuan tersebut, ramai golongan profesional memohon perlindungan terhadap barangan purba yang ditemui di Gaza kerana bimbang konflik dengan Israel boleh memusnahkan peninggalan sejarah yang ada. - Sumber Reuters.


Petani Palestin Salman al-Nabahin membersihkan lantai mozek era Byzantine yang ditemuinya di kebunnya. Gambar ini diambil pada 18 September 2022. - Foto Reuters/Ibraheem Abu Mustafa.

Pemandangan lantai mozek yang dibuat sejak era Byzantine. Gambar diambil pada 18 September 2022. - Foto Reuters/Ibraheem Abu Mustafa.

Salman al-Nabahin mencuci mozek lantai era Byzantine yang ditemui di kebunnya. Gambar diambil pada 18 September 2022. - Foto Reuters/Ibraheem Abu Mustafa.

Tapak penggalian mozek era Byzantine yang ditemui oleh seorang petani Palestin. - Foto New York Post.
'Simpanan' emas dan tembaga bernilai berbilion ringgit ditemui di Arab Saudi

'Simpanan' emas dan tembaga bernilai berbilion ringgit ditemui di Arab Saudi


Kerajaan Arab Saudi, pada Khamis lepas mengumumkan penemuan tapak galian emas dan bijih tembaga baharu di wilayah Madinah, lapor Al Arabiya News pada 16 September 2022.


Penemuan bijih emas itu berada dalam sempadan Aba al-Raha, di wilayah Madinah, kata Pemantauan Geologi Arab Saudi dalam catatan di media sosial. Ia turut menyatakan bijih tembaga ditemui di empat tapak di wilayah Wadi Al-Faraa juga di Madinah.


Al Arabiya News melaporkan, penemuan baharu itu dijangka menarik pelabur tempatan dan antarabangsa dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


Laman web itu melaporkan, ia mempunyai saiz pelaburan yang dijangkakan sebanyak AS$533 juta (kira-kira RM2.4 bilion) dan dijangka menjana sekitar 4,000 pekerjaan.


Perlombongan adalah satu daripada sektor yang dikenal pasti untuk pengembangan ekonomi sebagai sebahagian daripada matlamat Wawasan 2030, yang diilhamkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman.


Pada Jun, apabila Putera Mahkota Saudi mengumumkan keutamaan negara untuk sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan mampan sektor perlombongan yang berkembang pesat turut menjadi titik tumpuan.


Pada Mei, Kementerian Perindustrian dan Sumber Mineral Arab Saudi menggariskan rancangan untuk menarik AS$32 bilion (kira-kira RM145 bilion) pelaburan ke dalam sektor perlombongan.


Pada bulan Januari lalu, Profesor Abdulaziz bin Labon, Pengerusi Persatuan Koperasi Ahli Geologi Arab Saudi memberitahu SPA bahawa negara itu mempunyai sekurang-kurangnya 5,300 lokasi mineral sama ada yang berbentuk logam atau bukan logam, bahan binaan, batu hiasan dan batu permata.


Sasaran kementerian akan membiayai sembilan projek perlombongan untuk mineral dan logam. - Sumber Al Arabiya News.


Foto fail menunjukkan lombong emas Al Amar, 200 kilometer dari barat daya Riyadh. - Foto fail Reuters.

Isnin, 19 September 2022

Pendapatan tahun lepas mencecah RM28.5 bilion, Mesir naikkan lagi kadar tol Terusan Suez

Pendapatan tahun lepas mencecah RM28.5 bilion, Mesir naikkan lagi kadar tol Terusan Suez


Kerajaan Mesir mengumumkan kenaikan yuran transit bagi semua jenis kapal termasuk pengangkut minyak yang melalui Terusan Suez. Perkara itu diumumkan oleh Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) dalam kenyataan, kelmarin.


Menurut kenyataan itu, sebanyak 15 peratus kenaikan bayaran akan dikenakan kepada kapal tangki yang membawa minyak dan produk petroleum, di samping 10 peratus peningkatan untuk pengangkut pukal kering serta kapal persiaran.


Pengerusi SCA, Osama Rabie, seperti yang dilaporkan agensi berita Xinhua berkata, kenaikan yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 itu adalah tidak dapat dielakkan dan merupakan satu keperluan.


Menurut beliau, faktor yang mencetus kepada kenaikan tersebut adalah kadar inflasi global yang semakin melonjak, sekali gus meningkatkan kos operasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan maritim laluan air paling penting di dunia itu.


Kira-kira 10 peratus daripada kapal dagangan global termasuk tujuh peratus daripada kapal minyak di dunia menggunakan Terusan Suez yang menghubungkan Laut Mediterranean ke Laut Merah.


Pihak berkuasa berkata, terdapat 20,649 kapal melalui terusan itu pada tahun lepas, peningkatan 10 peratus berbanding 18,830 kapal pada 2020. 


Ia sekali gus menjadikan pendapatan yang diperoleh daripada laluan di situ sebagai sumber utama penyaluran mata wang asing ke Mesir.


Pendapatan tahunan Terusan Suez pada 2021 mencecah AS$6.3 bilion (RM28.5 bilion), jumlah tertinggi dalam sejarah negara.


Negara itu bagaimanapun kini berdepan cabaran ekonomi yang serius dan semakin kehabisan mata wang asing yang diperlukan untuk membeli keperluan komoditi seperti bijirin serta bahan api.


BACA: Dunia rugi RM1.6 bilion sejam, disebabkan kapal kontena besar tersadai di Terusan Suez.


Rakaman trafik yang boleh dilihat di Terusan Suez. - Foto Pusat Media Terusan Suez.
Doktor mengeluarkan kain kasa yang tertinggal dalam badan pesakit selama 20 tahun

Doktor mengeluarkan kain kasa yang tertinggal dalam badan pesakit selama 20 tahun


Doktor berjaya mengeluarkan gumpalan kain kasa daripada badan seorang wanita selepas ia ditinggalkan secara tidak sengaja semasa pesakit itu menjalani pembedahan usus 20 tahun lalu, lapor akhbar New York Post pada 16 September 2022.


Kajian kes mengenai prosedur pembedahan wanita itu diterbitkan pada Julai lalu dalam Jurnal perubatan Cureus.


"Pesakit kekal tanpa gejala selama 20 tahun walaupun terdapat kehadiran benda asing yang agak besar di dalam rongga perutnya," tulis penulis kajian kes tersebut.


Kejadian itu berlaku apabila pesakit berusia 65 tahun yang menghidap sejenis kanser dipanggil adenokarsinoma mukosa genetik, menjalani beberapa pembedahan pada tahun 1999.


Pesakit yang identitinya tidak didedahkan itu menjalani gastrectomy (pembedahan membuang sebahagian perut) dan epiploectomy (pembedahan buang lapisan tisu pada organ) sebelum menjalani kemoterapi.


Sebelum diisytiharkan bebas kanser, pakar bedah secara tidak sengaja meninggalkan sesuatu semasa pembedahan.


Pesakit berkenaan tidak menyedari perkara itu sehingga 20 tahun kemudian apabila mengalami sakit perut yang teruk selama dua hari, demam, berpeluh pada waktu malam dan bengkak pada pehanya.


Pesakit itu turut mengalami anoreksia (gangguan makan) yang tidak dapat dijelaskan menyebabkan dia hilang berat badan sebanyak 7.7 kilogram (kg), lebih 10 peratus jisim badannya.


Setelah menjalani ujian ultrasound di hospital, doktor menemui gumpalan kain kasa di dalam perutnya. Mereka percaya ia ditinggalkan di dalam usus semasa pembedahan lebih dua dekad lalu.


Pakar-pakar bedah berjaya mengeluarkan kain itu tanpa sebarang halangan. Foto yang disiarkan menunjukkan kain 'perubatan' yang dikeluarkan kelihatan berkerak dan coklat seperti pembalut mumia purba. - Sumber News York Post.


Imbasan ultrabunyi mendedahkan gumpalan kain kasa dalam badan wanita. - Foto Jam Press.

Pesakit kekal 'asimtomatik' selama 20 tahun walaupun kain perubatan itu berada di dalam badannya. - Foto Jam Press.

Pakar-pakar bedah berjaya mengeluarkan kain itu tanpa sebarang halangan. -  Foto Jam Press.