Jumaat, 17 Oktober 2025

3 lelaki tak mengaku rompak berkumpulan di sebuah kondominium


Dua penganggur dan seorang penarik kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di George Town hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan di sebuah kondominium di Persiaran Gurney, 7 Oktober lalu.


Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh, K. Nagarajan, 52, S. Arunkumar, 24 dan R.Raman, 30, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan berkenaan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.


Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama-sama didakwa telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua lelaki berusia 40 dan 49 tahun dengan merompak 21 barangan di kondominium Persiaran Gurney di George Town, kira-kira pukul 5 petang, 7 Oktober lalu.


Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara yang boleh sampai 20 tahun dan sebatan.


Ketika prosiding, jurubahasa turut membacakan senarai 21 barangan yang dirompak daripada mangsa antaranya sebuah kereta Jaguar warna biru, sebuah kotak warna merah bertulisan Alis Jewellers & Gems Sdn. Bhd, patung dewa warna keemasan berukuran lebih kurang 18 sentimeter (cm) dan lebih kurang 9.5cm.


Turut disebut ialah lapan bentuk gelang tangan, tiga utas rantai leher, dua pasang subang telinga, satu bentuk subang hidung warna keemasan, satu bentuk subang telinga dan tiga utas rantai leher warna keemasan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh pertama dan kedua iaitu Nagarajan dan Arunkumar diwakili peguam, Mohamed Firdaus M. Farouk, tertuduh ketiga iaitu Raman diwakili peguam, K. Mahendran.


Ketika prosiding, Mohamed Firdaus berkata, anak guamnya yang pertama, Nagarajan adalah seorang penganggur dan perlu menanggung dua anak dan isteri manakala yang kedua masih bujang.


Mahendran yang mewakili tertuduh ketiga yang bekerja sebagai penarik kereta juga memohon agar wang jaminan dikurangkan memandangkan gaji anak guamnya hanya RM1,800 dan perlu menanggung lima anak malah isterinya juga sedang sarat mengandung.


Hakim kemudian memutuskan wang jaminan berjumlah RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu tidak menggangu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 27 November depan.


Ketiga-tiga tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di George Town, hari ini. - Foto Kosmo Online.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon