Khamis, 16 Oktober 2025

KDN lupus alat mainan seks sebanyak 4,667 unit bernilai RM146,000


Kementerian Dalam Negeri (KDN) melupuskan sebanyak 4,667 unit alat mainan seks seberat 5.5 tan dengan anggaran nilai RM146,000 hasil rampasan sekitar Selangor.


Menurut kenyataan KDN pada Khamis, barangan terlarang itu merupakan hasil pelbagai operasi penguatkuasaan yang telah selesai melalui proses mahkamah antara Julai 2023 hingga Jun 2024.


"Tindakan pelupusan ini dilaksanakan setelah kesemua barangan tersebut diputuskan untuk dilucuthak melalui perintah mahkamah di bawah Seksyen 19(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984," jelas kenyataan itu.


KDN memaklumkan, proses pelupusan dijalankan mengikut Garis Panduan Pengurusan Pelupusan Barang Kes/Tahan/Eksibit yang dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK KDN).


"Ia dilaksanakan bagi memastikan semua alat mainan seks berkenaan dimusnahkan sepenuhnya supaya tidak lagi berbentuk asal atau berfungsi.


"KDN komited melaksanakan penguatkuasaan dengan tegas dalam membanteras bahan atau penerbitan yang memudaratkan kemoralan, ketenteraman awam serta bertentangan dengan sosiobudaya masyarakat Malaysia," katanya.


Menurutnya, aktiviti seumpama ini bukan sahaja tidak bermoral, tetapi boleh menjejaskan nilai dan norma kehidupan masyarakat.


"KDN akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam mencetak, mengimport, menghasilkan, menerbit, menjual atau mengedar hasil penerbitan larangan yang boleh menjejaskan kemoralan, keselamatan negara atau kepentingan awam," katanya.


KDN melupuskan sebanyak 4,667 unit alat mainan seks seberat 5.5 tan dengan anggaran nilai RM146,000 hasil rampasan sekitar Selangor. - Foto Bernama.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon