Sabtu, 18 Oktober 2025

Suami orang dicekup berkhalwat dengan janda di hotel, 'ubat kuat' turut ditemui


Hasrat seorang lelaki berstatus suami orang untuk berdua-duaan dengan seorang janda di sebuah hotel di Batu Pahat semalam terbantut apabila mereka diserbu dan dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat.


Dalam operasi jam 12.00 tengah malam itu, lelaki berusia 40-an dan wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan selepas mendaftar masuk lebih sejam di hotel berkenaan.


Menurut JAINJ, siasatan awal mendapati bilik berkenaan ditempah secara dalam talian pada kadar sewa melebihi RM200 semalam.


"Pintu bilik hanya dibuka lapan minit selepas diketuk oleh pasukan penguat kuasa dan pasangan terbabit didapati berpakaian lengkap ketika ditahan.


"Hasil pemeriksaan lanjut menemui satu kotak dipercayai ubat kuat lelaki yang dibuang ke dalam bakul sampah," katanya dalam kenyataan.


Katanya lagi, penguatkuasa JAINJ kemudian merekodkan keterangan untuk membantu siasatan.


"Pasangan ini akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dengan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.


Penguatkuasa JAINJ menyerbu menahan suami orang serta janda di sebuah hotel di Batu Pahat pada Jumaat. - Foto JAINJ.


EmoticonEmoticon