Isnin, 13 Mei 2024

Suami pukul isteri selepas tangkap dia bersama 2 kekasih gelap di bilik hotel

Suami pukul isteri selepas tangkap dia bersama 2 kekasih gelap di bilik hotel


Seorang lelaki di negeri Uttar Pradesh, India membelasah isterinya bersama dua lelaki lain selepas 'menangkap' mereka di dalam sebuah bilik hotel, lapor laman berita NDTV pada 11 Mei 2024.


Lelaki bekerja sebagai doktor itu menyerbu bilik hotel tersebut bersama ahli keluarganya yang turut memukul kesemua mangsa.


Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, polis pantas tiba di lokasi itu dan bertindak menahan si isteri serta dua kekasih gelapnya atas dakwaan mengganggu keamanan rumah tangga.


Dalam masa sama, si suami membuat laporan terhadap isterinya dan mendakwa bahawa wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan dua lelaki tersebut.


Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati rumah tangga pasangan suami isteri itu berdepan masalah sejak dua tahun lalu dan mereka kini tinggal berasingan.


Si isteri yang bekerja di sebuah hospital kerajaan tidak membuat sebarang laporan terhadap suaminya, namun polis berkata, siasatan masih dijalankan. - Sumber NDTV.


Lelaki berkenaan menangkap isterinya dengan dua lelaki lain di dalam bilik hotel. - Foto Unsplash.

Ahad, 12 Mei 2024

Suami isteri lesap, tinggal anak dengan pengasuh selama berbulan-bulan

Suami isteri lesap, tinggal anak dengan pengasuh selama berbulan-bulan


Seorang wanita di China terpaksa menjaga anak pasangan suami isteri selama berbulan-bulan tanpa dibayar gaji, selepas ibu bapa kanak-kanak itu hilang tanpa dikesan, lapor laman berita Oddity Central pada 10 Mei 2024.


Pasangan itu dilaporkan menghilangkan diri bersama wang yang mereka pinjam daripada wanita itu sebanyak 110,000 yuan (kira-kira RM72,133).


Wanita yang hanya dikenali sebagai Cikgu Yu, menjadi tajuk-tajuk utama di China selama lebih sebulan. Menurut Yu, dia tidak mendapat gajinya sejak November tahun lalu.


Dia mendakwa diupah oleh pasangan itu di Harbin, wilayah Heilongjiang untuk menjaga anak lelaki mereka yang baru lahir dengan gaji bulanan 7,000 yuan (RM4,591).


Tidak lama selepas membuat perjanjian, pasangan tersebut memberitahu Yu bahawa mereka perlu pergi ke Tianjin untuk menerima harta pusaka termasuk barangan mewah.


Mereka kemudian meminta dia memberikan pinjaman untuk bayaran peguam dan kertas kerja. Pasangan itu juga memutuskan untuk meninggalkan anak mereka dengan Yu ketika mereka menyelesaikan isu harta tersebut di Tianjin.


Namun sehingga sekarang, kelibat suami isteri itu tidak muncul, manakala menurut orang ramai, mereka mengesyaki kanak-kanak berkenaan bukan anak kandung pasangan tersebut.


Yu gagal menghubungi kedua-dua mereka dan dalam masa sama, dia mengaku tidak sanggup mengabaikan kanak-kanak tersebut yang sudah dijaga selama berbulan-bulan.


Lebih memburukkan keadaan, Yu telah meminjamkan sejumlah wang yang besar kepada mereka termasuk wang yang dipinjam daripada abangnya.

 

Pada awalnya dia percayai pasangan itu akan membayarnya apabila mereka mendapat harta pusaka yang besar itu.


"Saya memberikan semua simpanan saya kepada mereka, tetapi sejak November tahun lalu, saya tidak menerima sebarang gaji, mereka juga berhutang gaji saya dan wang yang saya pinjam daripada abang saya," keluh Yu. - Sumber Oddity Central.


Seorang wanita tidak dibayar gaji oleh pasangan suami isteri kerana menjaga anak mereka di Harbin. - Foto Oddity Central.
Dua lelaki maut elak tayar lori tercabut atas jalan

Dua lelaki maut elak tayar lori tercabut atas jalan


Akibat cuba mengelak tayar lori tertanggal, dua lelaki maut apabila motosikal dinaiki terbabas lalu terjunam ke dalam longkang dalam kejadian di Kilometer 7, Jalan Penampang-Kota Kinabalu, awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berusia 17 dan 27 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang bergerak dari arah Penampang menuju ke Kota Kinabalu.


Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar gantian lori komersil berkenaan dikatakan tertanggal dan jatuh di atas jalan.


"Ketika kejadian, dua motosikal yang bergerak dari arah sama cuba mengelak sehingga motosikal mangsa yang maut terjunam ke dalam longkang.


"Akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng motosikal itu mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.


Erwansyah berkata, mayat kedua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat bagi membantu siasatan.


Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Sehubungan itu, pihak polis memohon saksi kejadian supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan lanjut," katanya.


Operasi mengeluarkan kedua mayat mangsa dijalankan oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang.


Tayar gantian sebuah lori komersial yang tertanggal di tengah tengah jalan di Kilometer 7, Jalan Penampang ke Kota Kinabalu. - Foto Harian Metro.

Sabtu, 11 Mei 2024

Ribut solar ekstrem mula ancam bumi sejak jumaat lalu

Ribut solar ekstrem mula ancam bumi sejak jumaat lalu


Ribut solar paling kuat dalam tempoh lebih dua dekad menghentam bumi sejak Jumaat lalu (10 Mei 2024), yang turut menghasilkan cahaya aurora menakjubkan pada kaki langit dari Tasmania hingga Britain.


Pemandangan indah itu bagaimanapun ada 'bahaya tersembunyi' apabila ia dikhuatiri menyebabkan gangguan kepada satelit dan grid kuasa dijangka sehingga minggu depan.


Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) turut mengeluarkan amaran ribut geomagnet teruk yang jarang berlaku apabila letusan solar tiba pada bumi.



"Beberapa lonjakan jisim korona (CMEs) atau penghamburan plasma dan medan magnet daripada matahari telah direkodkan. Ia kemudiannya dinaikkan kepada ribut geomagnet ekstrem.


"Ia adalah yang pertama sejak Ribut Halloween pada Oktober 2003 yang menyebabkan bekalan elektrik terputus di Sweden dan memusnahkan infrastruktur kuasa di Afrika Selatan," jelasnya sambil menambah lebih banyak CMEs akan menghentam bumi dalam tempoh beberapa hari akan datang.


Difahamkan, CMEs bergerak pada kelajuan lebih perlahan dengan purata semasa pada kadar 800 kilometer sesaat berbanding nyala suria yang berupaya tiba di bumi dalam tempoh kira-kira lapan minit.


Pengguna media sosial bagaimanapun tidak menghiraukan bahaya ribut solar tersebut malah berkongsi imej aurora itu yang dapat dilihat dari utara Eropah dan Australasia.


Menurut saintis, matahari yang kini dalam fasa aktiviti tinggi yang dikenali sebagai maksimum solar, dijangka meneruskan prestasi teguhnya sehingga akhir tahun 2024.


Bill Nye, seorang saintis menyuarakan kebimbangan mengenai implikasi ribut suria terhadap masyarakat kita yang bergantung kepada teknologi.


"Aktiviti yang lebih tinggi ini telah disertai dengan nyalaan suria yang kuat dan lentingan jisim korona, fenomena yang boleh mengganggu ionosfera Bumi, memberi kesan kepada komunikasi dan sistem GPS dengan kesan serta-merta.


"Selain itu, kapal angkasa dan angkasawan menghadapi risiko daripada zarah bertenaga yang dikeluarkan oleh matahari, memerlukan langkah perlindungan yang teguh," lapor CNN. - Sumber NDTV.


Aurora borealis, juga dikenali sebagai cahaya utara, bersinar di kaki langit di Rumah Api St. Mary di Whitley Bay di pantai Timur Laut, England, Jumaat (10 Mei 2024). - Foto Owen Humphreys/PA via AP.

Cahaya utara muncul di langit malam di atas Brocken pada awal pagi Sabtu (11 Mei 2024) di Schierke, utara Jerman. - Foto Mathias Bein/dpa via AP.

Cahaya utara atau aurora borealis muncul di kaki langit Vienna ketika ribut geomagnet pada pagi Sabtu (11 Mei 2024). - Foto AFP.

Jumaat, 10 Mei 2024

Lelaki ditahan, tumbuk kepala teman lelaki bekas isteri

Lelaki ditahan, tumbuk kepala teman lelaki bekas isteri


Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mencederakan teman lelaki bekas isterinya dalam kejadian di sebuah rumah di daerah Rembau, semalam.


Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 malam berlaku di hadapan rumah suspek, 29 tahun di sebuah taman perumahan.


"Mangsa berusia 25 tahun menemani teman wanitanya iaitu bekas isteri suspek ke lokasi untuk menghantar barang keperluan anak-anaknya yang dijaga oleh kakak suspek.


"Suspek kemudiannya dilihat keluar dari rumah itu dalam keadaan marah sebaik bekas isterinya memberikan barang berkenaan kepada kakak suspek. Mangsa tidak masuk campur urusan tersebut sebaliknya hanya mendiamkan diri dalam kereta.


"Bagaimanapun suspek tiba-tiba datang dan menumbuk kepala mangsa sebaik dia membuka separuh cermin bahagian pemandu sebelum berlaku pergelutan.


"Selepas ditenangkan, suspek bertindak masuk ke dalam rumah dan keluar semula membawa sebatang besi seperti cangkul sebelum mangsa dan teman wanitanya itu menyelamatkan diri lalu membuat laporan polis.


"Mangsa mengalami kecederaan bengkak bahagian belakang kepala berhampiran telinga kanan. Pemeriksaan awal Pegawai Perubatan Hospital Rembau mendapati, pengadu mengalami "Soft Tissue Injuries".


"Suspek telah ditahan dan direman selama empat hari dan siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan," katanya, hari ini. - Sumber Sinar Harian.


Sebatang besi seperti cangkul dirampas daripada suspek.
Pemilik bibir terbesar di dunia sukar untuk tersenyum meskipun gembira

Pemilik bibir terbesar di dunia sukar untuk tersenyum meskipun gembira


Wanita dari Bulgaria yang didakwa mempunyai bibir terbesar di dunia dinasihatkan oleh pakar bedahnya untuk meletakkan lebih banyak suntikan filler (pengisi berupa gel) di sekitar hidung dalam usaha untuk 'meratakan keadaan'.


Mirror UK melaporkan, Andrea Emilova Ivanova, 26, yang pernah menjadi tajuk utama berita pada 2020 sudah membelanjakan lebih £20,000 (kira-kira RM118,548) untuk filler bibir sahaja dengan suntikan Hyaluronic Acid kerana mahu bibirnya kelihatan lebih besar dan mungil.


Bibirnya terbentuk seperti sekarang hasil lebih 20 suntikan dilakukan di bahagian berkenaan.


Memiliki wajah persis patung Barbie sebenar, Andrea juga mempunyai pengisi di pipinya dan menjelaskan bahawa pengumpulan filler menyebabkan kedutan, jadi dia turut disuntik pengisi pada kedua-dua belah hidungnya untuk mengelakkan dirinya daripada kelihatan tua.


"Doktor saya berkata bahawa adalah sangat penting mempunyai pengisi di beberapa kawasan wajah. Selama bertahun-tahun seperti tiada filler, maka wajah saya akan kelihatan tua sebab terdapat kedutan.


"Ini memandangkan saya mempunyai sejumlah besar filler di bibir. Jadi prosedur juga dilakukan di tulang pipi saya, di kedua-dua belah muka saya.


"Kawasan halus sebegini perlu dihidratkan dan disuntik untuk mengekalkan keadaan segar serta muda. Saya sudah biasa dengan kesakitan yang manis ini dan saya suka hasil yang mengagumkan selepas itu," katanya.


Andrea menyedari kedutan nasolabialnya merosot sebelum wanita itu mendapat pusingan terbaharu suntikan filler pada 2 Mei lalu yang dia belanjakan £437 (kira-kira RM2,590) untuk itu.


Walaupun dia gembira dengan prosedur itu, bekas pelajar falsafah dari Bulgaria itu mempunyai beberapa kebimbangan awal.


"Kawasan ini agak berbahaya untuk suntikan kerana sinus terletak di sana, serta banyak saluran darah. Ada kemungkinan jika ini tersumbat, keadaan boleh mengancam nyawa. Tetapi walaupun berbahaya, pada pendapat saya, mesti menyuntik juga kawasan itu untuk mengekalkan wajah muda.


"Sukar untuk tersenyum dan saya perlu minum banyak air kerana Hyaluronic Acid bertindak seperti span. Saya tidak boleh menggosok muka saya dengan tangan apabila saya mencucinya atau membuat sebarang pergerakan secara tiba-tiba di tempat yang baru disuntik.


"Tetapi saya akan mempunyai lipatan nasolabial disuntik semula kerana saya mahu bibir dan pipi menjadi lebih gebu. Saya benar-benar bertegas bahawa saya akan meneruskan prosedur ini tanpa berhenti," katanya. - Sumber Mirror UK.


Andrea Emilova Ivanova yang mempunyai bibir terbesar di dunia. - Foto Jam Press.

Khamis, 9 Mei 2024

Kerana malas masak, lelaki tikam isteri guna batang berus gigi hingga maut

Kerana malas masak, lelaki tikam isteri guna batang berus gigi hingga maut


Seorang lelaki ditahan selepas membunuh isterinya dengan menggunakan batang berus gigi yang diruncingkan, dipercayai bermotifkan perasaan dendam dan tidak puas hati, lapor akhbar Kompas.com pada 8 Mei 2024.


Risma, 19, dibunuh suaminya, Iwan, 20, dengan berus gigi pada Sabtu (4/5/2024) petang. Kejadian berlaku di rumah sewa mereka di Jalan Paya Togok, Desa Tanjung Batu, Kecamatan Kundur, Kabupaten Karimun, Kepulauan Riau.


Mayat mangsa pertama kali ditemui oleh ibunya, Nurida, 49, yang datang ke rumah sewa anaknya pada Ahad (5/5/2024).


Alangkah terkejutnya Nurida melihat anaknya yang sudah tidak bernyawa terbaring terlentang di atas katil dengan batang berus gigi tersangkut di lehernya.


Polisi kemudian menyiasat lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek pada Ahad (5/5/2024) petang.


Tangkapan itu dibuat di pelabuhan bot laju Tanjung Berlian ketika mereka menyeberang dari Pulau Kundur ke Pulau Karimun Besar. Polis menembak kaki suspek yang melawan ketika ditahan polis.


Menurut polis, pasangan itu bertengkar sebelum suspek hilang sabar dan bertindak di luar kawalan. Suspek mencekik mangsa sebanyak dua kali sebelum menikamnya dengan berus gigi.


"Setiap kali saya pulang dari kerja, dia tidak pernah masak dan saya akan makan sendiri. Apabila saya meminta dia membuat kerja rumah seperti memasak atau mencuci pakaian, dia akan memberontak dan berkata bahawa dirinya bukan orang gaji," kata polis yang memetik kenyataan suspek.


Suspek juga mendakwa bahawa dia beberapa kali melihat isterinya bersama lelaki lain di hotel.


"Suspek mengaku selepas melakukan pembunuhan itu dia melarikan diri dan malam itu tidur di teres rumah seorang penduduk.


"Pada sebelah pagi, suspek menaiki pengangkutan awam ke pelabuhan Tanjung Berlian untuk melarikan diri ke Pulau Karimun.


"Bagaimanapun, cubaan melarikan diri gagal selepas pasukan gabungan Polis Karimun menahan suspek selepas turun dari pengangkutan awam," kata polis. - Sumber Kompas.com.


Suspek mencekik mangsa sebanyak dua kali sebelum menikamnya dengan berus gigi kerana perasaan sakit hati. - Foto Kompas.com.
Misteri ratusan lalat mengerumuni wajah pengantin perempuan

Misteri ratusan lalat mengerumuni wajah pengantin perempuan


Sejumlah kawanan lalat menghurung seorang pengantin perempuan ketika dia sedang disolek di Solo, wilayah Jawa Timur, lapor laman berita Tribun Jatim pada 8 Mei 2024.


Klip video mengenainya dimuat naik di platform TikTok menggunakan akaun @mutiararachma_makeup pada Khamis lalu.


Dalam video tersebut, ratusan lalat dilihat mengerumuni bahagian wajah dan tubuh wanita berkenaan.


Ketika kejadian, pengantin berkenaan sedang disolek, manakala kawanan serangga itu enggan menjauhi tubuh wanita berkenaan.


Pengantin perempuan itu kelihatan tidak selesa dan menyapu wajahnya berkali-kali untuk mengusir lalat-lalat tersebut.


Punca kehadiran lalat yang banyak itu dikatakan kerana lokasi majlis perkahwinan tersebut terletak berhampiran ladang ternakan ayam. - Sumber Tribun Jatim.


Sejumlah lalat menghurung pengantin perempuan ketika dia sedang bersolek di sebuah rumah di Solo. - Foto @mutiararachma_makeup.

Selasa, 7 Mei 2024

Pembantu rumah jadi jutawan segera mewarisi aset RM12.9 juta dari majikannya

Pembantu rumah jadi jutawan segera mewarisi aset RM12.9 juta dari majikannya


Seorang pembantu rumah warga Thailand yang bekerja di Koh Samui mungkin menjadi jutawan 'segera' apabila majikannya warga Perancis yang sebelum ini menjadikannya proksi dalam syarikat, meninggal dunia dipercayai membunuh diri.


Wanita dikenali sebagai Nutwalai Phupongta, 49, yang berasal dari daerah Wanorn Niwas di wilayah Sakon Nakhon berkata, beliau masih terkejut dan sedih dengan kematian tragis majikannya, Catherine Delacote, 59 tahun.


"Saya mengenali bos Catherine selama lebih 17 tahun, diperkenalkan kepada puan oleh seorang rakan dan mula bekerja sebagai pembantu di rumah sewanya.


"Puan kemudiannya mengembangkan perniagaannya daripada hartanah sewa kepada resort dan vila, dan saya terus bersama dengannya," katanya.



Ahli perniagaan Perancis itu didakwa menamatkan riwayat di vila mewahnya pada minggu lalu, tindakan itu dibuat kerana kesengsaraan menanggung penyakit kanser dihadapinya.


Bangkok Post melaporkan, Nutwalai kini dalam penilaian pihak berkuasa Thai sama ada dia boleh mewarisi aset bernilai 100 juta baht (kira-kira RM12.9 juta) ditinggalkan mendiang majikannya.


Ketua Polis Koh Samui Pol Kol Krairoek Ngamsri-on berkata dengan perintah mahkamah, seorang wasi (orang yang dilantik dalam wasiat untuk urus) harta pusaka boleh memperuntukkan aset mendiang wanita itu mengikut kehendaknya.


"Wanita Perancis itu dilaporkan membunuh diri. Mendiang meninggalkan aset berjumlah kira-kira 100 juta baht kepada Nutwalai Pupongta, pembantu rumah yang sudah berkhidmat selama 17 tahun dengan mendiang.


"Setakat ini siasatan kematian menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah. Siasatan juga dilakukan terhadap pembinaan hotel gaya vila milik Catherine Delacote di Mae Nam di pulau Koh Samui di wilayah Surat Thani.


"Pemeriksaan awal mendapati hotel itu dibina secara sah tetapi pegawai belum menyiasat pegangan saham dalam syarikat mendiang wanita Perancis yang memiliki hotel itu," katanya.



Sementara itu, menurut Kolonel Dusit Kaysornkaew, ketua daratan Tentera Ke-4 unit penyiasatan berkata, pihak berkuasa menyiasat sama ada pembantu rumah yang berkenaan boleh mewarisi aset bernilai kira-kira 100 juta baht itu.


Syarikat yang disiasat, GVNE, mempunyai tiga pemegang saham.


Catherine mempunyai 49 peratus kepentingan dan dua warga Thailand memegang bakinya; seorang lelaki Thai dari Ubon Rattchhani mempunyai 35 peratus kepentingan dan seorang wanita Thailand dari Nakhon Si Thammarat mempunyai 16 peratus pegangan saham.


Kolonel Dusit berkata, pegawai penyiasat kelak akan mengetahui sama ada syarikat itu ditubuh secara haram membabitkan proksi Thailand.


Menurut sumber, GVNE diasaskan untuk menjalankan perniagaan hotel pada April 2012. Mendiang wanita Perancis itu adalah pengarah tunggal syarikat yang diberi kuasa.


Wanita Perancis itu, yang sudah bercerai dengan suami juga lelaki warga Perancis, ditemui mati berhampiran kolam renang di perkarangan vila mewahnya pada 29 April lalu.


Mayat itu mempunyai kesan lubang peluru dan pistol turut ditemui di tempat kejadian.


Presiden Persatuan Pelancongan Koh Samui, Ratchapol Pulsawasdi berkata dua pemegang saham warga Thai dalam syarikat Catherine mungkin perlu meluluskan sebarang pemindahan pemilikan aset yang ditinggalkan.


Peguam dan bekas ahli politik Niphit Intharasombat berkata, jika sebuah syarikat secara haram memasukkan pemegang saham proksi, Kementerian Dalam Negeri boleh menjual asetnya.


Sementara itu menurut Nutwalai, majikannya itu ada meninggalkan mesej perpisahan di dalam peti keselamatan.


Surat itu menyatakan bahawa Catherine mewariskan vilanya, kereta mewah, barang kemas, cincin, berlian yang disimpan dalam peti besi, dan semua wang tunai di bank kepada Nutwalai.


Pembantu rumah warga Thailand yang mempunyai empat anak itu turut mendedahkan majikannya itu telah memindahkan 500,000 baht kepadanya untuk menampung perbelanjaan pengebumiannya. - Sumber 

The Star, New Straits Times, Bangkok Post.


Nutwalai Phupongta mungkin mewarisi aset bernilai 100 juta baht (kira-kira RM12.9 juta) ditinggalkan mendiang majikannya Catherine. - Bangkok Post.
Penduduk Iran terkejut sejumlah ikan yang masih hidup jatuh dari langit

Penduduk Iran terkejut sejumlah ikan yang masih hidup jatuh dari langit


Sejumlah ikan 'jatuh dari langit' di wilayah Yasuj, Iran, menyebabkan penduduk berlari mencari perlindungan bagi mengelak daripada ditimpa haiwan itu, lapor portal berita Daily Star pada 6 Mei 2024.


Beberapa rakaman video menunjukkan kejadian pelik itu berlaku ketika hujan lebat semalam, sehingga ia menjadi tular di media sosial.


Dalam satu klip video di sebatang jalan utama, seorang lelaki keluar dari keretanya apabila ikan jatuh di sekelilingnya.


Dia kemudian mengambil salah satu ikan yang masih hidup walaupun hidupan laut itu terkena impak kuat apabila ia jatuh atas jalan raya berturap.


Fenomena jarang berlaku itu dipercayai dicetuskan oleh belalai air mirip angin puting beliung, di mana ia 'mengangkat' hidupan marin kecil, manakala terdapat laporan mengenai taufan berlaku di wilayah Yasuj.


Menurut seorang pakar iklim 'hujan haiwan' adalah perkara sebenar, tetapi banyak laporan masih tidak terbukti.


"Tiada kuasa ghaib dalam hal ini. Satu hipotesis adalah belalai air seperti angin puting beliung kadangkala 'menangkap' makhluk seperti ikan atau katak dan membawanya jauh.


"Apabila kelajuan angin beransur-ansur berkurangan, makhluk hidup itu jatuh ke dalam air hujan," katanya. - Sumber Daily Star.


Sejumlah ikan turun dari langit ketika hujan lebat di Yasuj semalam. - Foto X.