Ahad, 21 Disember 2025

Elaun sara hidup RM2.40 sehari untuk mangsa banjir Indonesia


Mangsa banjir dahsyat di Pulau Sumatera, Indonesia bakal menerima bantuan pemerintah selepas ia menolak penglibatan pihak asing kerana yakin mampu menguruskan sendiri krisis pasca bencana tersebut.


Menteri Sosial, Saifullah Yusuf berkata, pemerintah sedang mempertimbangkan skim elaun sara hidup harian untuk penduduk terjejas.


Ketika ini, kira-kira 577,600 penduduk hilang tempat tinggal manakala lebih 147,000 kediaman musnah setelah angka kematian mencecah hampir 1,070 orang dan 190 dilaporkan masih hilang di wilayah Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara.


"Elaun sara hidup selama tiga bulan akan diberikan kepada setiap keluarga sebaik sahaja ada perumahan sementara atau tetap sudah tersedia. Setiap ahli keluarga bakal menerima bantuan kewangan berjumlah 10,000 rupiah (RM2.40) sehari," jelasnya.


Jumlah elaun dicadangkan itu masih dalam perbincangan dengan Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Hal Ehwal Kebudayaan Pratikno bagi memastikan ia memenuhi taraf hidup semasa.


Pemerintah juga merancang untuk mengagihkan 3 juta rupiah (RM730) kepada isi rumah terkesan membeli perabot baharu dan keperluan penting lain yang musnah dibawa arus banjir.


Selain itu, pampasan berjumlah 15 juta rupiah (RM3,652) akan diberikan kepada waris keluarga yang terkorban dan 5 juta rupiah (RM1,217) untuk mereka yang cedera parah akibat bencana tersebut.


Setakat ini, Kementerian Sosial sudah menyerahkan bantuan berjumlah lebih 100 bilion rupiah (RM24.3 juta) ke ketiga-tiga wilayah tersebut.


"Saya meminta maaf kerana logistik kami amat terhad dan ada bantuan yang masih tidak dapat dihantar ke beberapa kawasan terpencil. Kami cuba mengagihkan semua sumber yang ada dengan sebaik mungkin," kata Saifullah lagi.


Media tempatan mendakwa pemerintah berdepan kesukaran untuk tiba di beberapa lokasi.


Di sebahagian kawasan di Aceh, penduduk terpaksa mengibarkan bendera putih sebagai isyarat kecemasan kerana sudah kehabisan sumber bekalan makanan dan kini hidup dalam kelaparan.


Bendera putih dipacakkan di tepi jalan di kawasan yang memerlukan bantuan segera. - Foto Agensi.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon