Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) menggesa Adam Adli Abdul Halim yang baharu dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) supaya memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta melaksanakan pendidikan tinggi percuma.
UMANY berkata, pihaknya berharap agar bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu tidak melupakan tuntutan reformasi yang pernah diperjuangkannya ketika bergiat sebagai aktivis mahasiswa.
"UMANY berpandangan bahawa pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi perlu menjadi pemangkin kepada reformasi pendidikan tinggi yang tulen.
"Oleh itu, kami menggesa beliau agar tidak melupakan tuntutan yang pernah diperjuangkannya, termasuk pemansuhan AUKU dan pelaksanaan pendidikan percuma sebagai reformasi asas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Selasa lalu, dalam pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adam Adli bertukar portfolio daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menggantikan Datuk Mustapha Sakmud.
Sewaktu era kebangkitan reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli merupakan antara pemimpin mahasiswa yang lantang menuntut supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.
Mengulas lanjut, UMANY menegaskan, Adam Adli merupakan tokoh penting dalam gerakan aktivisme mahasiswa.
Menurutnya, sepanjang penglibatannya dalam aktivisme mahasiswa, Adam Adli secara terbuka menentang AUKU serta secara konsisten memperjuangkan sistem pendidikan tinggi yang lebih demokratik.
“Pertama, AUKU digubal bagi menyekat kebebasan dan autonomi mahasiswa. Pada Pilihan Raya Umum 1969, aktivis mahasiswa lantang menyuarakan pendirian serta memberikan tekanan kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan, yang secara tidak langsung menyumbang kepada kehilangan majoriti dua pertiga kerajaan pemerintah di Dewan Rakyat.
"Sebagai tindak balas, kerajaan menggubal AUKU pada 1971 bagi mengehadkan penyertaan politik dan autonomi mahasiswa," ujarnya.
Justeru, UMANY berpendirian, pemansuhan AUKU juga merupakan usaha untuk mengembalikan maruah dan identiti mahasiswa serta menjadi langkah penting ke arah peralihan keadilan.
Ujarnya, memandangkan Adam Adli sendiri pernah menjadi mangsa penindasan di bawah AUKU, beliau seharusnya memahami sepenuhnya kesan drakonian akta tersebut dan tidak mengabaikan agenda reformasi penting itu selepas memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
"Kedua, pelaksanaan pendidikan tinggi percuma serta pemansuhan sistem pinjaman PTPTN merupakan satu lagi agenda reformasi kritikal yang tidak boleh ditinggalkan oleh Adam Adli.
"Menurut Perkara 26 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, pendidikan ialah hak asasi manusia dan universiti tidak seharusnya menjadi kemewahan yang hanya mampu diakses oleh golongan tertentu," katanya lagi.
UMANY berkata, pada masa kini, pendidikan tinggi semakin menjadi keperluan asas bagi majoriti golongan muda dan latar belakang ekonomi keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang untuk memasuki universiti.
Tambahnya, dengan yuran pengajian yang terus meningkat, sistem pinjaman pendidikan pada hakikatnya berfungsi sebagai mekanisme institusi yang menafikan hak pendidikan kepada pelajar daripada latar belakang miskin dan terpinggir.
"Pelaksanaan pendidikan tinggi percuma merupakan reformasi utama bagi menjamin keadilan pendidikan, memperluas mobiliti sosial serta memastikan pembangunan jangka panjang negara," tegasnya.

EmoticonEmoticon