Khamis, 18 Disember 2025

Najib mesti jalani tahanan rumah jika keputusan Titah Adendum Isnin ini memihak kepadanya - Peguam


Datuk Seri Najib Razak akan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah serta merta, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, jika Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakimannya berkaitan Titah Adendum pada 22 Disember ini.


Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman terbabit.


Demikian dinyatakan peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, dengan menegaskan bahawa semakan kehakiman itu membabitkan kebebasan anak guamnya.


"Saya ingin menegaskan jika keputusan memihak kepada kami, beliau mesti menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dengan serta-merta.


"Saya faham persiapan perlu dibuat di kediaman itu, namun saya percaya beliau mesti dibenarkan pulang tanpa berlengah lagi," katanya.


Ditanya mengenai kemungkinan Jabatan Peguam Negara akan memfailkan rayuan kemudian (jika mahkamah berpihak kepada Najib), Muhammad Shafee berkata ia tidak akan menjejaskan keputusan itu.


Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching pada mulanya menetapkan 5 Januari tahun hadapan bagi memberikan keputusan selepas selesai mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, bagaimanapun tarikh itu diawalkan kepada 22 Disember ini.


Surat daripada firma guaman Shafee & Co yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, menyatakan pemohon (Najib) meminta pertimbangan semula tarikh keputusan.


Ia menyatakan Najib memohon tarikh keputusan dibuat lebih awal, tertakluk kepada ketersediaan dan budi bicara hakim.


Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.


Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.


Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.


Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.


Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.


Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.


Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon