Ahad, 14 Disember 2025

Tembok misteri berusia 7,000 tahun ditemukan di bawah laut


Penyelam menemukan tembok tenggelam berusia kira-kira 7,000 tahun di bawah laut berhampiran barat Perancis, menurut saintis pada Khamis lalu.


Tembok sepanjang hampir 122 meter itu ditemukan di luar Ile de Sein, Brittany, negara itu, bersama lebih sedozen struktur buatan manusia yang lebih kecil dari tempoh sama.


Profesor arkeologi di Universiti Brittany Barat, Yvan Pailler berkata, penemuan ini membuka prospek baharu bagi arkeologi bawah laut dan membantu memahami organisasi masyarakat pesisir.


Beliau turut menulis kajian mengenai penemuan itu, yang diterbitkan dalam Jurnal Antarabangsa Arkeologi Nautika.


Difahamkan, struktur itu pertama kali dikesan oleh geologi bersara Yves Fouquet pada 2017, melalui carta dasar laut yang dihasilkan menggunakan sistem laser.



Penemuan itu mengilhami mitos tempatan yang serupa dengan kisah Atlantis yang terkenal, menurut BBC.


Dengan panjang 120 meter, tembok ini binaan bawah laut terbesar yang pernah ditemukan di Perancis. Penyelam menjelajah tapak antara 2022 dan 2024 dan mengesahkan kehadiran struktur granit berkenaan.


Struktur berusia antara 5,800 hingga 5,300 Sebelum Masihi (SM), terletak sembilan meter di bawah laut dan dibina pada masa paras laut jauh lebih rendah berbanding sekarang.


Penyelidik percaya, struktur itu mungkin perangkap ikan di pesisiran atau tembok untuk melindungi daripada kenaikan air laut.


Sementara itu, kajian menyatakan, struktur ini menunjukkan kemahiran teknikal dan organisasi sosial yang mencukupi untuk mengekstrak, menggerakkan dan mendirikan blok seberat beberapa tan, serupa dengan batu prasejarah yang terkenal di Brittany (megalit Breton).


Kemahiran teknikal ini wujud beberapa abad sebelum binaan megalit pertama. Kajian turut menyebut, tapak ini mungkin menjadi asal usul legenda penduduk Brittany mengenai bandar tenggelam Ys di Teluk Douarnenez.


Penemuan berlaku enam bulan selepas ahli arkeologi menemui tinggalan kapal perdagangan abad ke-16 lebih 1.5 batu (2,414 meter) di bawah laut selatan Perancis.


Penyelam menemukan tembok di bawah laut di luar barat Perancis, kata saintis pada hari Khamis. - Foto Hal Open Science.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon