Isnin, 15 Disember 2025

Kerajaan perlu tegas tolak UEC - Kok Seong


Kerajaan perlu menyatakan pendirian tegas menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Malaysia seperti didesak pihak tertentu ketika ini.


Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, ini kerana pengiktirafan tersebut tidak selari dengan prinsip pendidikan kebangsaan berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan kurikulum nasional.


Malah katanya, tindakan tersebut juga dilihat sebagai penghinaan kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


"Semua pemimpin Melayu tanpa mengira fahaman politik perlu bersatu untuk menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf UEC kerana ia bukan sahaja menjadi ancaman kepada sistem pendidikan atau hala tuju pendidikan nasional tetapi juga boleh mewujudkan jurang perkauman yang lebih besar.


"Sepatutnya sejak dahulu lagi kerajaan atau mana-mana pemimpin perlu bertegas untuk tidak memberi ruang kepada UEC diiktiraf di negara kita. Orang Melayu tidak kisah pun adanya UEC ini melalui sekolah persendirian Cina tapi apa yang mereka marah apabila ada ugutan yang boleh mengganggu sistem pendidikan nasional.


"Pada saya, kontroversi yang kembali dicetuskan ini hanya permainan politik untuk mendapatkan kembali sokongan penyokong masyarakat Cina tapi hakikatnya ia berisiko mencetuskan huru-hara kepada negara," katanya.


Menurut Kok Seong, kerajaan pada dasarnya telah memberi pengiktirafan separuh kepada UEC apabila membenarkan ia diambil melalui sekolah persendirian Cina.


Namun katanya, tindakan pihak yang mahu perkara itu berada dalam sistem pendidikan nasional dilihat keterlaluan dan perlu disekat segera.


Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan segelintir pemimpin Melayu yang mengeluarkan kenyataan tidak jelas mengenai isu berkenaan seakan-akan menyokong usaha untuk memberi pengiktirafan terhadap sijil tersebut juga amat dikesali.


"Seharusnya sebagai pemimpin Melayu, kumpulan itu harus menentang habis-habisan desakan tersebut kerana ia boleh melemahkan sistem kebangsaan dan menyumbang kepada pemisahan aliran pendidikan mengikut kaum atau komuniti tertentu.


"Kita harus pertahankan identiti nasional negara ini, maknanya tidak boleh seorang pun dalam kalangan pemimpin Melayu yang menyokong usaha untuk mengiktiraf UEC ini," ujarnya.


EmoticonEmoticon