Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting atas tiket parti Warisan (WARISAN), Wong Tshun Khee mengambil pendekatan bersikap positif susulan video tular beliau tidak bertutur lancar dalam bahasa Melayu ketika majlis mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (DUN), Khamis lalu.
Video itu mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai sehingga ada yang mendakwa beliau tidak fasih dalam bahasa Melayu.
Susulan itu, beliau menafikan dakwaan terbabit dan menjelaskan amat akrab dan mempunyai ramai kawan dalam komuniti orang Melayu di daerah kelahirannya, Sandakan.
Menjelaskan insiden yang terjadi semasa membaca teks pada majlis mengangkat sumpah sebagai ADUN, Tshun Khee berkata, ketika itu beliau berasa gugup disamping mempunyai masalah penglihatan.
"Masa itu saya berasa gugup dan cermin mata (untuk kegunaan membaca) saya juga tidak boleh lihat dengan jelas (tulisan dalam teks angkat sumpah dalam jarak tertentu).
"Lagipun ini adalah kali pertama (mengangkat sumpah sebagai ADUN). Lagipun tuan Speaker (Speaker DUN Sabah) juga bantu (bimbing menerusi sebutan betul) saya.
"Saya pun baik-baik, positif sahaja dan saya tidak marah. Cuma saya belajar daripada (insiden) itu jugalah sebab saya baru pertama kali masuk DUN masa itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di bangunan DUN Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.
Dalam pada itu, Tshun Khee juga turut berterima kasih kepada pihak yang menyebarkan video itu sehingga tular walaupun terdapat orang awam yang mengecam beliau.
"Saya berterima kasih kepada mereka... sekarang satu Malaysia kenal saya.
"Walau bagaimanapun, ia bukan satu perkara bagus kerana ini hanya perkara kecil tapi diperbesarkan," katanya.

EmoticonEmoticon